Jangan Lalai, Teruskan Usaha Kukuhkan UMNO – Abdul Razak
KOTA MELAKA, 7 Julai – Ketua UMNO Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengingatkan ahli Pemuda di bahagian berkenaan agar tidak lalai dengan apa yang ada hari ini.
Sebaliknya tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, ianya adalah satu peringatan daripada Allah SWT agar masing-masing sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.
“Allah sedang uji kita bermacam-macam. Dalam ujian itu ada lagi kelonggaran… ada lagi nikmat… 2018 UMNO/ Barisan Nasional (BN) kalah namun kita dapat membentuk kerajaan bersama selepas 22 bulan.
“Tahun 2023 Allah uji lagi besar… ada 30 kerusi parlimen saja namun Allah masih lagi kurniakan nikmat apabila kita membentuk Kerajaan Perpaduan. Namun kita tidak boleh selesa dengan suasana ini kerana Allah sering ingatkan kita jangan kita berada dalam keadaan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pemuda UMNO Kota Melaka, di sini, semalam yang disempurnakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Hairi Md Shah.
Hairi seterusnya berkata pendekatan menerusi media sosial serta kaedah bersemuka antara salah satu proses yang perlu digembleng bersama dalam usaha memperkukuhkan lagi keyakinan masyarakat terhadap parti berkenaan.
“Jangan sekadar media sosial… cara lama tidak boleh diketepikan dan kita kena turun padang. Selain penggunaan Tik Tok, forum ‘live’ dan sebagainya, kita kena santuni juga masyarakat… jangan sekadar media sosial semata-mata. Saya cukup yakin dengan kombinasi ini.
“Apa pun tahniah kepada Pemuda yang berjaya mengadakan mesyuarat. Alhamdulillah…rumah Pemuda Kota Melaka dah cukup cantik dengan apa yang telah ditinggalkan pemimpin-pemimpin sebelum ini, Alhamdulillah.
“Mari kita sama-sama berganding bahu dengan pelbagai peringkat kepimpinan UMNO yang lain di Kota Melaka ini untuk kukuhkan lagi parti hari ini, insya Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online