Isu Air Sabah Bukan Lagi Soal Pembangunan, Tetapi Soal Kemanusiaan
SANDAKAN, 7 Julai – “Ini bukan hanya soal pembangunan, tetapi juga soal kemanusiaan serta harga diri sebuah bandar yang sedang membangun,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat, susulan gangguan bekalan air bersih yang kembali menghimpit kehidupan penduduk di Taman Permata, Batu 8, Sandakan sejak lebih seminggu lalu.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai satu isu yang sangat serius, lebih-lebih lagi kerana Sandakan sebelum ini pernah melalui detik hitam apabila terpaksa berdepan masalah air masin yang menjejaskan kehidupan seharian ribuan penduduk.
“Air bersih dengan tekanan yang stabil adalah keperluan asas dan hak asasi. Apabila rakyat terpaksa mencari alternatif bekalan air, ia bukan sahaja menjejaskan keselesaan hidup, tetapi turut mengancam kesejahteraan warga emas, anak kecil dan golongan kurang upaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengucapkan penghargaan terhadap tindakan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang telah menyerahkan petisyen rasmi kepada pihak pengurusan WTW Taman Permata iaitu sebagai suara desakan rakyat yang sudah tidak tahan lagi berdepan isu air yang berulang.
Dalam kenyataannya, Mokran menegaskan bahawa kerajaan negeri dan agensi berkaitan tidak boleh lagi bersikap reaktif.
“Sudah tiba masa untuk tampil dengan penyelesaian menyeluruh dan berjangka panjang agar isu air di Sandakan tidak berulang-ulang,” ujarnya.
Antara langkah segera yang beliau cadangkan termasuk:
• Audit menyeluruh ke atas sistem infrastruktur air bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan, termasuk kapasiti rawatan dan paip usang.
• Pembinaan tangki simpanan tambahan di kawasan strategik untuk kurangkan kebergantungan kepada satu punca.
• Penstrukturan semula sistem pengagihan air agar tekanan diagihkan secara adil, terutama di kawasan berbukit atau hujung saluran.
• Penggunaan teknologi alternatif seperti penapisan air payau dan penyahgaraman air laut sebagai langkah jangka panjang.
• Penubuhan pasukan khas bertindak pantas bagi menangani aduan rakyat dengan lebih efisien dan telus.
Menurut Mokran, rakyat sudah terlalu lama bersabar.
“Cukuplah mereka diuji. Kita perlu bergerak ke hadapan dengan dasar dan tindakan yang benar-benar menjaga maruah serta keperluan asas rakyat,” katanya.
Beliau menggesa semua pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera dan bersepadu demi memulihkan keyakinan dan kehidupan penduduk Sandakan.
“Air adalah asas kehidupan. Isu ini menyentuh martabat dan hak rakyat, maka ia wajar ditangani dengan penuh kebertanggungjawaban.” – UMNO Online