Generasi Muda Wajib Pertahan Legasi Perjuangan UMNO Demi Agama, Bangsa, Negara – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menegaskan bahawa generasi muda hari ini memikul tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi perjuangan yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu demi kedaulatan negara, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Sekolah Patriotik UMNO, iaitu sebuah pengkaderan anak bangsa untuk kesedaran politik dan kenegaraan yang diadakan di Auditorium UMNO, semalam.

“Saya titipkan pesanan kepada mereka agar kenali sejarah, hargai pengorbanan, dan jangan sesekali abaikan erti perjuangan. Masa depan negara ini terletak di tangan generasi muda. Gunakan ilmu, semangat dan nilai jati diri untuk terus membela agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau dalam ucapannya.

Tengku Adnan turut menekankan bahawa nilai kesetiaan, semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab terhadap negara perlu dipupuk sejak usia muda, kerana tanpa kefahaman yang jelas terhadap erti perjuangan, generasi akan datang mudah terpesong daripada asas pembinaan negara bangsa.

 

“Perjuangan tidak pernah selesai. Ia diteruskan dari satu generasi ke generasi. Hari ini kalian belajar, esok kalian akan memimpin. Jangan biarkan semangat perjuangan ini terputus di tangan kita,” tambah beliau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut mengingatkan bahawa dalam era globalisasi dan ledakan teknologi maklumat, cabaran terhadap nilai budaya, identiti nasional dan kelangsungan perjuangan semakin mencabar.

Justeru, anak-anak muda perlu memperkukuhkan jati diri serta memperlengkapkan kekuatan dengan ilmu, kemahiran dan semangat juang yang tinggi.

Tengku Adnan menzahirkan keyakinan bahawa dengan bimbingan yang berterusan, anak muda UMNO mampu menjadi barisan pelapis yang bukan sahaja berkualiti, malah lebih berani, berprinsip dan bersedia menghadapi cabaran zaman.

Katanya lagi, UMNO akan terus memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing generasi muda agar memahami peranan mereka sebagai pemimpin masa depan, sekali gus memastikan kesinambungan perjuangan parti dan kestabilan negara terus terpelihara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79