Bijak Susun Strategi Berdepan Realiti Politik Baharu – Ahmad Zahid
GOPENG, 7 Julai – Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak termasuklah para pemimpin dan akar umbi agar perlu bijak menyusun strategi untuk berdepan dengan realiti politik baharu.
Jelasnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) bakal bertanding secara solo dan menggunakan lambang dacing pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 namun tidak akan meninggalkan rakan-rakan komponen BN serta Pakatan Harapan (PH).
“Inilah kelebihan kita apabila jadi sebahagian daripada kerajaan. Mintalah pada yang kasih, berteduhlah pada pohon yang rendang. Sesungguhnya ia adalah kerana kuasa yang Allah pinjamkan kepada kita. Hakikatnya, saya tengok dari laporan risikan UMNO Gopeng khususnya cawangan-cawangan menyatakan pada PRU akan datang, kita harus pergi solo.
“Memang kita pergi solo. Kita akan bertanding secara solo, guna lambang dacing BN. Tetapi kita kena ingat dalam BN kita ada kawan-kawan dari MIC, MCA dan PBRS. Kita tak pergi solo atas nama UMNO. Hakikatnya sekarang ini Kerajaan Negeri Perak ada sahabat dari PH. Sama seperti di peringkat Putrajaya.
“Kalau kita sombong, pergilah secara solo… Apa salahnya, kawan baru kita adalah PH. Kita ada kawan baru tapi tak pernah tinggalkan kawan lama. Pilihan raya lalu kita pergi solo. Dapat sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak. Solo di Parlimen, kita dapat 30 kerusi. Kita mesti bijak susun strategi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng, pada Ahad.
Ujarnya, Allah menyayangi parti keramat UMNO ini dan disebabkan itulah ia masih ditakdirkan untuk menjadi kerajaan meskipun tidak menang secara majoriti.
“Ini realiti politik baharu. Kita ada 30 kerusi ketika itu. PH 82 kerusi. Mereka tak boleh bentuk kerajaan. PN juga sama sebab ada 73. Agong titah Tan Sri Muhyiddin mengadap tapi ditolak cadangan tersebut. Saya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Zambry juga diperintah mengadap, tapi kami bawa cadangan tersebut ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Ditakdirkan Allah buka hati Datuk Seri Anwar Muhyiddin bergabung, UMNO tidak dipanggil Tuanku, mereka boleh bentuk kerajaan… ke mana UMNO pada ketika itu? Kita jadi pembangkang. Tetapi kerana UMNO ini parti keramat, Allah sayangkan UMNO untuk terus jadi sebahagian daripada kerajaan.
“Apabila 73 tak jadi kerajaan, 30 jadi kerajaan.. 82 campur 30 cukup-cukup majoriti mudah, apa maknanya kalau itu bukan ‘divine intervention’? Adakah kita tidak patut bersyukur? 22 bulan kita diuji ketika tak cukup kerusi. Ramai yang ‘cabut’. Ketika itu yang paling kuat adalah Wanita UMNO di seluruh negara. UMNO kuat kerana Wanita UMNO, tulang belakang parti,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mempunyai keyakinan bahawa UMNO/BN akan mendapat lebih banyak kerusi Parlimen mahupun DUN pada PRU yang akan datang.
“Dalam keadaan itu, apabila Allah sayang parti keramat ini, sanggup atau tidak di cawangan dan bahagian berpecah sesama sendiri? Jangan minta kita diuji lagi pada PRU ke-16. Saya yakin PRU akan datang, UMNO akan dapat lebih banyak kerusi dari dua PRU lalu.
“Kita kena usaha, tawakkal kepada Allah. Hakikatnya di Gopeng ini kita kosong. Adakah jentera kita tidak mahu bekerja di Gopeng? Lumut pulak ketiga-tiga kerusi ‘ruyup’. Kerusi yang sepatutnya kepunyaan BN. Insya-Allah di Lumut, di ketiga-tiga kerusi saya akan letak calon UMNO/BN. Saya yakin kita akan menang sebab dibantu rakan-rakan PH.
“Jangan ingat dengan sombong, kita memilih untuk bergerak solo tetapi kita akhirnya ruyup. Lebih baik kita guna kebijaksanaan, tidak guna emosi dan santuni rakan-rakan BN serta PH. UMNO akan dominan semula pada PRU ke-16,” katanya lagi.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua UMNO Bahagian Gopeng merangkap Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din dan barisan kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online