Ahmad Zahid Ucap Selamat Hari Peneroka FELDA, Terus Menjadi Pemangkin Kemajuan Negara

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga FELDA sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2025 yang disambut hari ini, 7 Julai.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan sambutan tahunan ini sebagai simbol penghormatan kepada sumbangan besar para peneroka dalam membina kemajuan negara sejak FELDA ditubuhkan 69 tahun lalu.

“Sejak penubuhannya, FELDA bukan sahaja menjadi tulang belakang pembangunan luar bandar, malah telah membuka ruang kepada lebih 112,638 peneroka dan hampir tiga juta generasi FELDA untuk membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa FELDA kekal konsisten dengan mandat asalnya iaitu memberi tanah kepada yang tidak bertanah, mencipta pekerjaan bermaruah dan membasmi kemiskinan secara menyeluruh, namun FELDA kini sedang melalui proses transformasi yang lebih holistik demi menghadapi cabaran baharu.

“FELDA hari ini bukan hanya berkisar tentang getah, kelapa sawit dan tanah rancangan. Ia kini turut menyerlah dalam bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi makanan serta seni dan budaya.”

Beliau turut menggariskan tiga agenda utama FELDA bagi tahun 2025 iaitu:
1. Mengangkat Martabat FELDA: Menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan peneroka, membuka lebih banyak peluang ekonomi serta memperkasa komuniti luar bandar sebagai matlamat nasional.
2. Perkukuh Peranan FELDA dalam Industri Makanan & Komoditi: FELDA melalui FGV Holdings muncul antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia dan menguasai pasaran gula tempatan, selain meluaskan jenama Saji ke peringkat antarabangsa.
3. Pembangunan Generasi Baharu FELDA: Melalui pendidikan berkualiti, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan. Zahid turut menyentuh kejayaan membanggakan pelajar MRSM FELDA Trolak, MAWO, yang meraih Anugerah Emas di Festival Orkestra Tiupan Antarabangsa ke-26 di Prague.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa sambutan Hari Peneroka tahun ini bakal berlangsung lebih meriah apabila ia digabungkan dengan Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di bawah satu jenama baharu, Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D). Program tersebut bakal berlangsung pada 30 Julai hingga 3 Ogos 2025 dengan tema “Desaku Mendunia”.

“Mega Karnival ini bukan sahaja medan mempromosi produk FELDA dan keusahawanan desa, tetapi juga sebagai simbol penyatuan komuniti dalam inovasi, pelancongan, perniagaan dan warisan budaya,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peneroka FELDA atas pengorbanan dan semangat yang tidak pernah luntur.

“Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, FELDA akan terus menjadi pemangkin kemakmuran luar bandar dan kekal sebagai aset strategik negara,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79