Zaman Teknologi Cabaran Baharu, Azhari Seru Wanita UMNO Terus Bangkit

SHAH ALAM, 6 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyifatkan perjuangan politik masa kini jauh lebih mencabar berbanding era lampau, terutama dengan kemunculan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI) yang mengubah landskap komunikasi dan strategi politik.

Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak boleh ketinggalan dalam menghadapi revolusi digital ini, malah perlu segera menguasai teknologi agar tidak tercicir.

“Zaman sekarang sangat hebat. Kita berdepan dengan cabaran teknologi termasuk AI. Kalau kita tak mahir, kita akan ketinggalan. Tapi kita juga tak boleh biarkan teknologi ini jadi berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji semangat dan kesetiaan Wanita UMNO yang tetap komited walaupun parti kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Beliau menyifatkan Wanita UMNO sebagai tulang belakang parti yang terus bekerja tanpa mengharapkan imbuhan.

“Mereka tak pernah minta jawatan, tak pernah ‘demand’ apa-apa. Tapi tetap bantu calon BN setiap kali pilihan raya. Kalau tak ada wanita, lumpuhlah cawangan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa Perasmian Persidangan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, pada Sabtu.

Persidangan terbabit dirasmikan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim.

Azhari turut menyeru agar semua pihak terus menghargai pengorbanan dan peranan besar wanita dalam parti.

“Marilah kita terus beri sokongan kepada Wanita UMNO. Mereka tetap setia berdepan cabaran – sama ada ketika menang atau kalah, mereka tetap bersama parti,” tambahnya.

Beliau juga berkata, UMNO bukan sahaja perlu untuk terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, tetapi juga bergerak seiring dengan perubahan teknologi yang semakin pesat agar kekal relevan dalam landskap politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79