Wanita UMNO Benteng Akar Umbi, Penggerak Setia Parti – Jumaeah Masdi
SHAH ALAM, 6 Julai – Ketua Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, Jumaeah Masdi menegaskan bahawa Wanita UMNO bukan sekadar pelengkap dalam parti, tetapi merupakan benteng paling kuat di peringkat akar umbi yang menjadi penggerak utama dalam memastikan kelangsungan perjuangan UMNO.
Menurut beliau, penglibatan aktif wanita dalam persidangan, khususnya di peringkat cawangan sebelum ini, membuktikan peranan penting yang dimainkan oleh sayap Wanita dalam memperkukuh struktur dan kekuatan parti.
“UMNO sekarang ibarat kapal dalam ribut, jika tidak berpandu maka ia boleh karam. Namun, ruang dalam Kerajaan Perpaduan ibarat layar tambahan agar kita tak karam maka kita perlu jadikan ruang ini sebagai peluang untuk memperkasa parti,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa kesetiaan merupakan asas penting dalam memperkukuh UMNO agar parti terus menjadi wadah perjuangan yang konsisten membela agama, bangsa dan negara.
“Kalau UMNO tidak dipertahankan, maka suara orang Melayu juga boleh hilang. Risikonya ialah perjuangan ini juga boleh terhapus kerana tiada lagi parti yang benar-benar fokus kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya lagi.
Jumaeah turut menyifatkan Wanita UMNO sebagai ‘perisai parti’ yang sentiasa ke hadapan dalam setiap gerak kerja, malah kekal istiqamah dalam menyampaikan keyakinan kepada masyarakat.
“Berjuanglah dengan istiqamah. Terus yakinkan masyarakat. Insya-Allah, kebenaran akan terserlah. Jangan hanya sibuk mencari salah kerana UMNO mempunyai dasar dan perjuangannya yang jelas,” tegas beliau.
Persidangan ini dirasmikan oleh
Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yang turut dihadiri
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari serta kepimpinan UMNO Bahagian.
Turut hadir selaku perwakilan ialah Wanita dari seluruh cawangan dalam Bahagian Shah Alam yang menunjukkan komitmen dan semangat tinggi dalam memperkasakan perjuangan UMNO di peringkat akar umbi. – UMNO Online