Wan Rosdy Harap Lebih Ramai Ahli PPBM Sertai UMNO

LARUT, 6 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar lebih ramai yang akan mengikut jejak langkah 231 ahli PPBM yang mengambil keputusan untuk kembali menyertai UMNO.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, tindakan 231 ahli PPBM itu membuktikan bahawa mereka telah bosan dengan parti tersebut yang jelas tidak mempunyai hala tuju terutamanya dalam memperjuangkan nasib bangsa.

“Ini menunjukkan dengan jelas ‘signal’ kepada kita bahawa mereka telah bosan dengan parti mereka yang dulunya bersama dengan kita. Kerana sebab-sebab tertentu, mereka menubuhkan parti lain yang menjadi serpihan daripada UMNO.

“Setelah beberapa tahun berada dalam parti tersebut, mereka tak nampak hala tuju dan ambil keputusan untuk kembali kepada UMNO. Ini menunjukkan dengan jelas mereka mempunyai keyakinan bahawa UMNO sahaja yang boleh memperjuangkan nasib bangsa kita,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, perkara tersebut turut menunjukkan bahawa UMNO diyakini sebagai sebuah parti yang telah terbukti menjadi landasan perjuangan ikhlas terutamanya dalam membela agama, bangsa dan tanah air.

“Mereka juga merasakan PPBM tidak dapat berbuat apa-apa. Parti kita memang telah terbukti dan kita dapat lihat sekarang… telah ada yang ingin kembali kepada UMNO dan itulah yang menyebabkan mereka berpatah balik kepada kita.

“Ini pula adalah kawasan Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dahulunya UMNO. Beliau telah keluar dan bawa orang-orang UMNO untuk bersama beliau… tetapi mereka yang mengikuti beliau telah berpatah balik. Saya harap lebih ramai lagi yang akan mengambil keputusan sama di Larut ini dan juga di tempat-tempat lain. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, beliau berpandangan bahawa gerakan #PasTerajuPahang hanyalah untuk bermain sentimen dan persepsi dengan tuduhan yang tidak berasas.

“Kita tidak akan berdiam diri kerana apa yang mereka (Pas) suarakan adalah semata-mata untuk memainkan sentimen dan persepsi. Saya harap rakyat akan dapat menilai dan ambil maklum apa yang kerajaan negeri telah laksanakan.

“Sekiranya mereka mengatakan Pahang tidak islamik, kita telah buktikan. Sebanyak 37 buah masjid telah dibina. Kita juga berikan wang sagu hati kepada mereka yang ingin menunaikan haji. Kemudian kita tubuhkan tadika tahfiz di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga ada menghantar pelajar-pelajar ke Jordan, Mesir… banyak lagi yang kita buat untuk menegakkan syiar Islam di Negeri Pahang. Setiap masjid mendapat RM10,000 sumbangan dari Kerajaan Negeri. Jadi, kalau saya nak kupaskan satu persatu memang banyak. Ini memang jelas bahawa tuduhan mereka adalah tidak benar. Mereka cuma memainkan sentimen dan persepsi,” katanya lagi.

Terdahulu, dilaporkan seramai 231 orang ahli PPBM telah mengambil keputusan untuk bersama dengan UMNO bagi meneruskan perjuangan dalam membela agama, bangsa dan tanah air.

Perkara tersebut diumumkan ketika Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut yang telah dirasmikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Sabtu. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79