Depani PRU ke-16… Ahmad Zahid Garis Empat Prasyarat

LUMUT, 6 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan empat prasyarat utama untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, penyatuan antara ahli dan akar umbi menjadi prasyarat utama kepada titik mula untuk parti kembali bangkit.

“Kemenangan itu bukan datang dari langit. Ia datang dengan syarat UMNO Bahagian lumut dan rakan-rakan BN Lumut mesti bersatu padu, bersama-sama kukuhkan penyatuan serta tidak berpecah belah. Kita hanya ada satu UMNO/BN lumut. Masalahnya, musuh-musuh politik kita bukan kuat. Tetapi kerana kita lemah. Bagaimana kita lemah? Ini kerana kita tidak yakin kepada diri, parti dan organisasi yang diuji pada PRU ke-14 serta 15.

“Kini ada landasan payung besar. Kenapa payung besar ini disarankan? Adakah kerana parti ketuanya hilang deposit di kesemua kerusi ditandingi pada PRU ke-15? Kenapa ia diwujudkan? Kerana mereka tahu bahawa ada retak-retak menanti belah di kalangan mereka. Janganlah sombong dan angkuh. Jika ditakdirkan ketika itu kita tidak patuh titah Agung… kita rasa angkuh dengan 30 sahaja yang kita ada dan tidak bersama-sama bersetuju tubuhkan Kerajaan Perpaduan walaupun itu adalah titah.

“Kemenangan ini Allah anugerahkan kepada kita untuk beri kesedaran. Kita diuji dua kali, nauzubillah jangan diuji pula untuk kali ketiga. Kita hendaklah lahirkan rasa syukur bukan hanya di bibir tetapi dengan amal Dan perubatan. Tidak ada budaya lama, tikam belakang, cah keting… Cukup-cukuplah. Kita wajib menyatupadukan kepimpinan dan akar umbi. Janganlah kita bercerai berai. Ia akan memberikan keberkatan utki kemenangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut, sebentar tadi.

Ujarnya, UMNO perlu menyantuni rakan-rakan komponen BN dan Pakatan Harapan (PH) serta menyemai semangat setiakawan bersama mereka.

“Prasyarat kedua kita mesti santuni rakan-rakan BN dan PH. Kita akui MIC dan MCA sedang diuji. Mungkin orang Cina dan India tidak bersama mereka pada ketika ini. Mereka sedang susah maka jadi tanggungjawab kita membantu mereka pada ketika ini.

“Rakan-rakan PH, kita bantu mereka pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK). Ertinya kita wajib santuni rakan-rakan kita untuk tentukan bahawa pada PRU akan datang calon-calon UMNO/BN akan dominan semula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Kita hanya sebahagian daripada kerajaan. Kita boleh meminta dan mendesak tetapi ada batasan. Kita kena ingat bahawa rakyat sedang melihat, menilai dan meninjau samada kita boleh terus mentadbir. Kita akan lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlaku pada bila-bila masa. Kita dapat lihat bagaimana rakyat Sabah rindukan BN. Kita akan berjuang di sana kemudian ke Melaka dan Johor,” katanya lagi.

Jelasnya, rakyat kini sedang merindui zaman pemerintahan UMNO/BN secara mutlak dan ia perlu disambut dengan tangan yang terbuka.

“Rakyat sedang rindukan UMNO/BN semula. Prasyarat ketiga ini apabila rakyat masih dan terus rindu… kita tidak tahu, tetapi saya tahu. Saya pergi ke setiap pelusuk di negara kita. Mungkin mereka benci kita sebab fitnah dan sebagainya. Apabila mereka buat perbandingan, kita jangan bernostalgia pernah jadi kerajaan selama 60 tahun.

“Cukuplah, kalau kita tahu orang rindu kita, kita mesti balas dan dakap semula rindu itu kerana mereka akan sokong kita jadi kerajaan semula. Tetapi jika sombong, mungkin agak mahal harga untuk membayarnya.

“Mustahil kita dapat santuni 100,000 orang pengundi dalam satu masa. Maka prasyarat keempat, kita mesti santuni pengundi melalui atas talian iaitu media sosial. Ini wajib. Saya minta Pergerakan Pemuda dan Puteri untuk juarai media atas talian. Saya yakin ianya boleh dilakukan. Wanita gunakanlah Jalinan Rakyat dan R10 untuk terus menyantuni rakyat secara ‘offline’,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk tidak termakan dengan sebarang naratif mahupun persepsi yang dimainkan oleh pihak lawan.

“Media sosial, konten dan naratif ini penting. Saya ucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan UMNO Bahagian Lumut kerana sering turun ke Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Mereka kebanyakannya pengundi DUN Pangkor dan sebahagian kecil Pasir Panjang.

“Saya sebut perkara ini sebagai mikro politik kerana ini adalah peluang terakhir kita di Lumut untuk memenangi ketiga-tiga kerusi dengan sokongan rakan-rakan PH Dan BN dengan empat prasyarat saya sebutkan tadi. Peluang terakhir ini jangan kita lepaskan.

“Bagaimana keadaan di Terengganu, Kelantan Kedah dan Perlis? Di Kelantan ada tiga batu nisan. Di Terengganu, kubur tiada baru nisan. Bagaimana di Kedah dan perlis? Cukup-cukuplah, jangan termakan dengan hujah pihak lawan. Kita tahu di utara lain pengaruhnya,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua UMNO Bahagian Lumut merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan para pemimpin bahagian empat peringkat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79