Ubah Cara Dekati Rakyat, Manfaat Peluang Bangkit Semula – Wan Rosdy
LARUT, 5 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa ahli dan akar umbi untuk mengubah cara mendekati rakyat dalam memanfaatkan peluang agar parti bangkit semula.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, perubahan landskap politik yang berlaku pada ketika ini menuntut agar gerak kerja baharu dan lebih progresif dijalankan untuk memenangi semula hati rakyat.
“Kita dalam politik ini pelik. Di Pahang, apa yang saya tak buat? Daripada ibu yang lahirkan anak sehingga meninggal dunia, semua kerajaan negeri bantu. Sama juga di Perak. Dengan prestasi kerajaan yang cemerlang, hutang tinggal hanya RM900 juta. Kutipan hasil negeri pula tiga tahun berturut-turut melebih RM1 bilion.
“Dalam politik prestasi tidak menjadi ukuran. Tiada siapa sangka Pahang akan hilang majoriti. Landskap politik berubah maka kita juga kena berubah terutamanya dari segi pendekatan. Sokongan rakyat terutamanya dari undi 18 semakin terhakis. Keadaan ini amat membimbangkan kita.
“Sebab UMNO ini parti keramat, sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh jadi Menteri Besar. Di persekutuan kita ada 30 kerusi Parlimen dapat jadi Timbalan Perdana Menteri… ramai jadi Menteri. Ini peluang terakhir untuk kita. Kita perlu bangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Larut, di sini, sebentar tadi.
Jelasnya, adalah sukar untuk menterjemahkan sokongan rakyat di atas kertas undi meskipun mereka mengakui kecemerlangan Kerajaan Negeri mentadbir.
“Oleh sebab itu kalau boleh amalkan pemikiran luar kotak. Kita tak boleh dah guna pendekatan biasa. Di Pahang kita hilang majoriti. Kita dah ubah pendekatan. Kalau dulu kita bagi bantuan, kita panggil ke pejabat. Tetapi sekarang ini mungkin cara tu tak berkesan, maka kita pergi ke rumah.
“Sokongan rakyat kepada UMNO/BN semakin terhakis. Pada 2004 hanya satu pembangkang di Pahang. Kemudian tahun 2008, ada tujuh. 2012 bertambah ke 13 dan akhirnya jadi 17. Macam mana nak buat? Saya ada lantik konstruktur, untuk nilai prestasi sokongan rakyat kepada Kerajaan Negeri Pahang. Sokongan menujukkan hampir 80 peratus.
“Tetapi, untuk diterjemahkan kepada kertas undi hantar 45 peratus. Macam mana kita nak cari formula untuk samakan peratusan sokongan kepada kerajaan melalui kertas undi? Kita kehilangan banyak undi di FELDA. FELDA sekarang ini, pengundinya dah masuk generasi ke 4. Mereka ini harus disantuni,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk mempelbagaikan aktiviti serta bersatu padu agar parti kembali bangkit.
“Oleh itu, utk bangkit semula aktiviti dekari rakyat kena banyak. Calon itu penting tapi pucuk pimpinan boleh letak seorang sahaja. Semua layak jadi calon. Apabila calon yang kita rasa boleh jadi calon, tapi tak jadi… kita pulak sabotaj. Ini berlaku di Pahang. Akan datang nanti, siapa-siapa yang jadi calon, kita sokong. Kita bukan sokong kepada nama tetapi atas parti.
“Sebab itu kita kena jadi ‘partyman’. Macam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi… walaupun diminta bubarkan UMNO, beliau bertahan. Meskipun beliau tahu kalau tak bubar, masalah besar akan menimpa.
“Kalau kita berpecah, yang untung adalah orang lain. Contohnya Pas. Pas ini adalah satu-satunya parti yang menggunakan agama. Tapi macam-macam yang mereka buat untuk tikam kita. Kita kena kuatkan UMNO dan carilah jalan dalam apa-apa keadaan supaya parti kembali bangkit,” katanya lagi. – UMNO Online