Tiga Negeri PN ‘Goyah’, Tak Mustahil BN-PH Rampas Semula – Ahmad Maslan

LANGKAWI, 5 Julai –  UMNO menyifatkan kedudukan kerajaan negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) di Perlis, Kedah dan Terengganu tidak stabil, sekali gus membuka peluang untuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) merampasnya semula pada pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, separuh daripada pengundi di tiga negeri berkenaan masih menyokong UMNO, manakala sebahagian lagi dalam kelompok atas pagar yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Kalau dulu kita kalah, selepas ini tidak mustahil kita boleh menang. Tiga negeri (Perlis, Kedah dan Terengganu) adalah ‘negeri goyah’.

“Ini bermaksud separuh penduduk menyokong kita, ada di tengah-tengah… jadi pemerhati atau pengundi atas pagar ini akan memainkan peranan penting,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman.

Ahmad turut menegaskan, jika rakyat di ketiga-tiga negeri itu tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PN, mereka berkemungkinan besar akan kembali menyokong UMNO.

Mengulas tiga usul dibahaskan dalam mesyuarat iaitu Peranan Wanita Dalam Politik, Tuntutan Kerusi Parlimen dan Dua Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Langkawi dikembalikan kepada UMNO, serta pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata UMNO sentiasa meraikan demokrasi.

“Setiap kali mesyuarat perwakilan wanita, pemuda, puteri dan bahagian, kita sentiasa terima banyak usul dan bincang secara berhemah sebelum menjadi ketetapan.

“Ini adalah kaedah kita mendapatkan maklum balas daripada akar umbi dan mencerminkan bahawa UMNO adalah parti yang menjunjung amalan demokratik,” katanya. – BH 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79