Politik PN Hanya Raih Simpati, Pengaruhi Orang Melayu/Islam – Aznel

GERIK, 5 Julai – Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim berpandangan corak berpolitik Perikatan Nasional (PN) khususnya kononnya mahu menjadi ‘payung besar orang Melayu’ tidak lain dan tidak bukan hanya menimbulkan persepsi bagi meraih simpati orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Katanya, ini berbeza dengan politik UMNO yang jelas konsisten dari dahulu selaras dengan apa yang termaktub dalam perlembagaannya iaitu menjaga hak keistimewaan orang Melayu, kesucian agama Islam dan juga apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita melihat usaha yang dibuat untuk mengumpulkan orang Melayu/Islam ini bagi mencari simpati dan mencari pengaruh politik untuk PRU-16 (Pilihan Raya Umum ke-16) nanti kerana isu-isu yang hendak dimainkan sudah tidak ada dalam pasaran politik tanah air.

“Jadi inilah isu yang boleh mereka ketengahkan menggunakan Islam, hak-hak orang Melayu untuk mendapatkan sokongan kepada parti mereka.

“Bagi saya ini adalah publisiti untuk mencari pengundi-pengundi yang akan terpedaya kepada mereka. Kerana UMNO dari dulu, kini dan selamanya akan mempertahankan perlembagaan dan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui baru-baru ini di Pejabat UMNO Bahagian Gerik, di sini seusai Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian empat peringkat yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Seterusnya, mengulas mengenai kedudukan kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di dalam Gerik, Aznel berkata pihaknya bertekad mahu merampas kembali kerusi Parlimen dan DUN Pengkalan Hulu di samping mempertahankan kemenangan DUN Temengor pada pilihan raya akan datang. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79