BN Kekal Jadi Payung UMNO Tanding PRU – Dr Asyraf

ARAU, 5 Julai – Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi payung yang menaungi UMNO dan parti komponen untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,

Menegaskan isu bertanding solo tidak berbangkit, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata perubahan dinamika politik menuntut pelbagai pendekatan berbeza.

Bagaimanapun, katanya, UMNO akan meneliti bentuk kerjasama boleh dijalin bersama gabungan lain pada PRU akan datang.

“UMNO tidak pernah bertanding solo sejak negara merdeka. Saya tidak fikir UMNO akan berbuat begitu kerana ia menunjukkan keangkuhan dan kesombongan sebagai parti yang tidak pernah dilakukan pemimpin terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau.

Dalam keadaan kuat seperti satu ketika dulu pun, Asyraf Wajdi berkata, UMNO masih mengharapkan rakan komponen dalam BN lain untuk bersama berjuang terutama dalam menghadapi PRU.

“UMNO akan terus bertanding atas tiket BN manakala kerjasama lain akan diputuskan dalam mesyuarat pimpinan kelak,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO akan bangkit bersama MCA dan MIC memacu kejayaan dalam PRU.

“Politik ini ada pasang surutnya, tidak semestinya hari ini kita berada di bawah, kita tidak bangkit semula,” katanya.- BH

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79