“Umpama Sebuah Syarikat, Rakan Kongsi Perlu Melihat Untung Rugi” – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Veteran UMNO menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) yang akan melaksanakan kajian separuh penggal Kerajaan Perpaduan bagi melihat prestasi pencapaian.

Dalam satu kenyataan, Veteran UMNO berpandangan kajian tersebut sebagai penting kerana kedudukan parti merupakan sebahagian daripada kerajaan.

“Umpama sebuah syarikat, rakan kongsi perlu melihat untung rugi syarikat yang dikongsinya bersama.

“Kalau untung maka bagaimana cara pembahagian dividennya dan kalau rugi apakah perlu meneruskan perkongsian dalam syarikat itu,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu Veteran turut berharap UMNO akan membuat kajian itu dengan mengambil kira sentimen ahli akar umbi dan persepsi orang Melayu.

Menurut mereka ia terutama terhadap UMNO khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Veteran juga berharap kajian itu hendaklah meliputi untung ruginya UMNO/Barisan Nasional (BN) meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-16 atau hanya sehingga PRU-16,” ujar kenyataan itu lagi.

Terdahulu mesyuarat MKT pada Isnin lalu memaklumkan akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Kajian prestasi tersebut termasuk pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79