Jangan Politikkan Isu Ambalat, Libatkan Sabah Dalam Rundingan – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 4 Julai – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa isu Ambalat tidak wajar dijadikan bahan politik berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata tidak wajar mengheret isu sempadan maritim ini ke gelanggang sentimen politik tempatan, kerana ia hanya akan membuka ruang polemik tanpa menyumbang kepada penyelesaian sebenar.

“Pendekatan diplomasi adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim di kawasan Ambalat.

“Saya ingin menegaskan kepada pihak kerajaan Persekutuan bahawa Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini seharusnya membuka ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk turut serta dalam rundingan strategik tersebut.

“Ini penting agar suara dan kepentingan Sabah diiktiraf secara sah dan jelas dalam apa-apa keputusan dasar berkaitan pembangunan bersama kawasan Ambalat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Bung turut menyeru semua pihak agar kekal rasional, bersatu mempertahankan kedaulatan negara di samping memastikan rakyat Sabah terus memperoleh manfaat wajar daripada sebarang hasil rundingan Ambalat.

Katanya lagi, UMNO Sabah akan memastikan suara negeri ini dibawa secara formal dan konstruktif, termasuk melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, agar kepentingan rakyat Sabah selaku jiran terdekat kawasan Ambalat terus terpelihara.

“Saya ingin menegaskan bahawa Sabah berhak untuk dilibatkan dalam apa jua kerangka rundingan bersama yang melibatkan kawasan pertikaian Ambalat.

“Namun saya faham bahawa kita kini berada di ambang Pilihan Raya Negeri Sabah, oleh itu saya ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kedaulatan Sabah.

“Isu yang melibatkan kepentingan negeri dan negara harus diangkat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik jangka pendek,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79