Jalan Baharu Serkam – Bemban Jadi Laluan Alternatif Strategik Rakyat Luar Bandar

MELAKA, 4 Julai – Penduduk luar bandar khususnya di kawasan Bemban dan sekitarnya kini menikmati kemudahan laluan alternatif yang lebih efisien berikutan pembukaan Jalan Baharu Serkam – Bemban, yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Bemban semalam.

Ujarnya, projek jalan dua lorong sepanjang tiga kilometer ini bukan sekadar pembangunan fizikal, malah menjadi alternatif strategik yang menghubungkan Simpang Jalan Serkam–Bemban ke Simpang Jalan Kandang, sekaligus memendekkan masa perjalanan sehingga lima minit, terutama bagi laluan dari Ayer Molek ke Tol Jasin.

“Projek infrastruktur ini bukan hanya menghubungkan lokasi, tetapi menghubungkan harapan rakyat dengan masa depan yang lebih cerah.

“Jalan ini juga bukan sekadar tar dan batu, ia adalah simbol kemajuan yang inklusif yang juga membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah lupa atau alpa terhadap keperluan rakyat di luar bandar.” kata Ab Rauf menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Jelasnya, Projek ini bermula pada 15 November 2022 dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada 25 April 2025, dengan kos keseluruhan RM20.2 juta. Kecekapan pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka serta pihak terlibat mendapat pujian.

“Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Melaka dan semua yang terlibat atas pelaksanaan yang cekap bagi memastikan jalan ini dapat digunakan dengan selamat untuk rakyat,” – katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79