Isu Ambalat: Komitmen Pertahan Kedaulatan Negara – Mohamad Alamin
PERSEMPADANAN maritim di Laut Sulawesi masih belum dimuktamadkan sepenuhnya. Triti Laut Sulawesi yang dimeterai pada 8 Jun 2023 (Triti Sulawesi 2023) hanya meliputi kawasan di separa perairan laut wilayah (territorial sea) di Pantai Timur Wilayah Sabah.
Penandatanganan Triti Sulawesi 2023 ini tidak mencakupi kawasan ND6 & ND7 yang terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara sepanjang 200 batu nautika.
Blok ND6 dan ND7 atau apa yang dirujuk oleh Indonesia sebagai ‘Ambalat’ terletak dalam kawasan ZEE negara.
Penandatanganan Triti Sulawesi 2023 ini kemudiannya dipolemikkan oleh beberapa pihak yang sengaja menuduh Kerajaan Malaysia telah mengetepikan hak serta kedaulatan wilayah Sabah kepada Indonesia.
Penjelasan demi penjelasan telah dibuat baik melalui jawapan di Parlimen, Dewan Undangan Negeri Sabah dan termasuk sidang media yang telah dibuat oleh saya sendiri sebagai Timbalan Menteri Luar.
Semua pihak maklum bahawa blok ND6 & ND7 dilaporkan memiliki simpanan sumber asli seperti minyak dan gas yang signifikan. Namun Malaysia dan Indonesia masih tidak boleh mengesksplorasi kedua-dua blok ini berikutan ia masih dalam pertikaian dari sudut persempadanan maritim antara kedua buah negara.
Melihat kepada potensi ekonomi yang signifikan ini – sementara proses pemuktamadan persempadanan maritim di Laut Sulawesi antara kedua-dua buah negara berjalan – ada pihak mencadangkan agar Malaysia dan Indonesia membangunkan potensi ekonomi ini secara bersama (Joint Development – JD).
Harus dinyatakan di sini, proses memuktamadkan sempadan maritim di Laut Sulawesi ini mengambil masa yang panjang. Ia dibuat melalui sebuah Jawatankuasa Teknikal yang diterajui oleh Kementerian Luar Negeri dan dianggotai oleh pelbagai agensi termasuk Kerajaan Wilayah Sabah, Majlis Keselamatan Negara (Sabah), Pejabat Peguam Negara (Sabah), Jabatan Pemetaan Malaysia, Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah dan banyak lagi.
Idea untuk JD di Laut Sulawesi membabitkan ND6 & ND7 bukanlah sesuatu yg baharu. Malah pada 2022, Perdana Menteri ketika itu pernah mengarahkan pihak Petronas untuk mempertimbangkan kajian mengenai cadangan JD berkaitan.
Terbaru, dalam lawatan kerja Perdana Menteri ke Jakarta pada 27 Jun 2025 yang lalu, perkara ini memang ada dibincangkan. Namun demikian, ia belum lagi dimuktamadkan. Bahkan, Perdana Menteri sendiri menyebut bahawa kepentingan wilayah Sabah dalam perkara ini mesti diambil kira dan dilihat secara adil.
Maka, untuk merealisasikan idea JD ini, ia akan melalui banyak proses – antaranya dan terutamanya – mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada Kerajaan Wilayah Sabah. Mekanisme perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Wilayah Sabah yang sedia ada telah dan akan digunakan sepenuhnya.
Antara mekanisme tersebut ialah Majlis Tindakan Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
Apapun, JD di Laut Sulawesi merupakan hal yang masih dalam pertimbangan dan sememangnya belum lagi dimuktamadkan.
Kerajaan Malaysia akan terus komited untuk memperhalusi dan mencari kesepakatan mengenai perkara ini melalui rundingan mekanisma sedia ada dan memastikan kedaulatan dan kepentingan negara termasuklah kepentingan wilayah Sabah akan sentiasa dipertahankan.
Datuk Mohamad Haji Alamin
Timbalan Menteri Luar Negeri
4 Julai 2025