Perak Sejahtera 2030 Tidak Pinggirkan Masyarakat Orang Asli – MB
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata dalam pelan Perak Sejahtera 2030, masyarakat Orang Asli tidak dibiarkan terpinggir.
Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu, masyarakat Orang Asli di Perak sentiasa diberikan tempat, peluang dan kepercayaan.
“Sektor ekopelancongan, pertanian moden, pendidikan tinggi dan latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) kini semakin dikuasai oleh anak-anak Orang Asli yang tekun dan berwawasan.
“Hari ini, kita angkat suara Orang Asli. Bukanlah sebagai komuniti yang perlu dibantu, tetapi sebagai rakan strategik untuk membina hari esok yang lebih baik.
“Mereka juga adalah penggerak ekonomi, penjaga warisan dan pencorak masa depan negeri,” kata Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dalam satu catatan di laman Facebook.
Petang semalam, Saarani bersama pimpinan masyarakat Orang Asli di dalam Simposium Komuniti Orang Asli Negeri Perak di Dewan Banquet SUK Perak, di Ipoh.
Tambah Saarani, simposium Orang Asli itu merupakan julung kali dianjurkan dan ia disertai oleh Tok-Tok Batin, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Orang Asli, persatuan, koperasi, badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan, usahawan serta pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Niat kita hanya satu. Untuk duduk semeja, mendengar, memahami dan memikirkan usaha-usaha yang boleh dilakukan demi masa depan anak-anak Orang Asli di negeri ini.
“Mudah-mudahan program ini dapat menjadi pemangkin kepada masa depan Negeri Perak yang lebih cerah kerana negeri ini tidak akan lengkap tanpa penyertaan semua rakyat tanpa mengira latar budaya, kaum mahupun suku,” katanya.
Saarani juga berharap agar masyarakat Orang Asli akan terus diperkasa.
Dalam majlis tersebut, Saarani turut menyampaikan anugerah kepada pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024. – UMNO ONLINE