MINDEF Alu Komitmen Syarikat Itali, Modenkan Aset ATM – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengalu-alukan komitmen dan akan memastikan cadangan yang dikemukakan oleh dua buah syarikat dari Itali akan memberi manfaat kepada usaha permodenan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan dua buah syarikat yang berpengkalan di Itali sempena lawatan kerja di sana.

“Perdana Menteri memulakan pertemuan dengan syarikat-syarikat yang berpengkalan di Itali dengan mengadakan perjumpaan bersama Fincantieri, diikuti Leonardo Aircraft Division.

“Kedua-dua buah syarikat menyatakan hasrat dan perancangan mereka untuk sama-sama menjayakan usaha MINDEF dalam melengkap, sekaligus memodenkan aset-aset strategik setiap perkhidmatan dalam ATM, dengan komitmen ke arah memperkasa industri pertahanan tempatan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kerjasama tersebut penting kerana ia menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan industri pertahanan tempatan agar lebih berdaya saing.

“Aspek pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan dan kapasiti tempatan, serta lokalisasi pembuatan adalah antara syarat utama yang ditekankan agar negara mendapat manfaat sepenuhnya daripada setiap tawaran perolehan yang dikemukakan.

“MINDEF mengalu-alukan hasrat serta komitmen dizahirkan, dan akan memastikan bukan sahaja cadangan perolehan yang dikemukakan kedua-dua buah syarikat memberi manfaat kepada usaha permodenan aset-aset ATM.

“…malah yang paling mustahak, menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan industri pertahanan tempatan agar lebih berdaya saing serta berteknologi tinggi,” katanya lagi.

Untuk rekod, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri telah berlepas berlepas ke Itali untuk lawatan kerja selama tiga hari sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Ia lawatan sulung Perdana Menteri ke negara itu atas jemputan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut serta delegasi perniagaan termasuk daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Khazanah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV Holdings Berhad (FGV) dan Weststar Aviation Sdn Bhd.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai perkembangan hubungan Malaysia-Itali serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi pertahanan dan tenaga. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79