Dr Anil Seru Kukuhkan Perpaduan, Mantapkan Gerak Kerja Menuju PRN Sabah

TENOM, 3 Julai – Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menyeru agar seluruh jentera Pemuda UMNO Bahagian Tenom terus memperkukuh perpaduan dan semangat juang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenom, Bobby Balang serta seluruh perwakilan sayap pemuda atas kepimpinan dan semangat perjuangan yang ditunjukkan.

“Saya mendoakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenom, Bobby Balang, serta menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas kepimpinan beliau bersama semua perwakilan yang menunjukkan satu semangat dan satu hala tuju. Barisan Nasional (BN) tetap radu – sampai menang kali ini di Tenom.

“Matlamat kita adalah untuk menang di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi di Tenom pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

“Adalah penting untuk semua jentera akar umbi parti mengekalkan momentum dan memperkukuh kerjasama bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional di Tenom,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Tenom di Kompleks Sukan Tenom, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi; Ketua Wanita UMNO, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan; Ketua Pemuda UMNO, Bobby Balang; serta para perwakilan Pemuda UMNO bahagian.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu berkata, semangat setiakawan dan keutuhan dalam kalangan pemuda amat penting dalam memperkukuh gerak kerja parti.

“Saya memohon kepada semua Pemuda UMNO Bahagian Tenom agar terus bersatu hati, bekerja untuk parti dan saling menghormati. Kesetiaan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

“Biarpun dalam kelompok yang kecil, tetapi semangat Pemuda-pemuda UMNO Bahagian Tenom dalam perwakilan sayap ini amat luar biasa,” ujarnya.

Tambah Dr. Anil Sandhu, semua jentera Pemuda UMNO Bahagian Tenom terus bekerja sepenuh hati bagi memastikan kemenangan BN di Sabah.

“Teruskan bekerja untuk parti. Jangan leka dan jangan lalai. Kekalkan semangat, kesepaduan serta keyakinan untuk menguasai semula Tenom,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79