Rakyat Semakin Sedar Kepentingan Politik Khidmat, Tolak Budaya Fitnah – Maslin Sham
KUALA KANGSAR, 2 Julai – Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar Datuk Maslin Sham Razman berkata rakyat kini semakin sedar mereka amat memerlukan politik khidmat berbanding politik yang penuh dengan budaya fitnah dan dakyah.
Ujarnya, kesilapan mereka yang terkeliru dengan permainan persepsi yang dibawa oleh pihak lawan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu ternyata tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat.
“Kita nampak dalam PRU yang ke-15 rakyat menidakkan politik khidmat yang kita berikan dan tawarkan tetapi hari ini pasca PRU-15, akhirnya kembali kepada norma asal, mereka memerlukan perkhidmatan sebenarnya.
“Mereka kerap bertanya (kepada kita) bantuan, ‘touch point’ dan sebagainya. Jadi sebenarnya mereka masih memerlukan tetapi ditidakkan oleh dinamika politik yang kurang sihat dengan adanya budaya fitnah, budaya dakyah, budaya sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan yang menyebabkan ramai terkeliru.
“Dan hari ini rakyat mungkin telahpun sedar tentang retorik itu tidak akan membawa apa-apa makna jika perkhidmatan atau ‘governance’ yang ditawarkan oleh kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat itu tidak dapat membuat penyampaian dengan baik,” katanya kepada UMNO Online.
Sehubungan itu, Maslin Sham berharap pada PRU akan datang rakyat semakin matang dalam membuat pilihan kerana pilihan raya bukan satu permainan.
Ujarnya, kini terbukti semua anggota pentadbiran kerajaan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi yang amat membanggakan.
“Saya rasa rakyat kena matang dalam pemilihan… pilihan raya bukan satu permainan untuk dicuba-cuba. Saya harap rakyat boleh kembali kepada Barisan Nasional kerana Barisan Nasional hari ini daripada tujuh menteri yang kita lantik semuanya ‘perform’ dan kebergantungan kepada menteri-menteri daripada UMNO sangat tinggi.
“Insya-Allah dengan siapa pun kita akan bersama pada pilihan raya akan datang, kita mahu kembali menjadi kerajaan dan kalau boleh menambahkan kerusi sebaik yang mungkin,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Maslin Sham turut berterima kasih kepada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi yang hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar baru-baru ini.
Katanya, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa banyak berkongsi maklumat dan formula untuk UMNO bahagian bangkit khususnya merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Manong dan Bukit Chandan.
“Beliau memberikan formula bagaimana untuk kita bangkit semula dan langkah-langkah untuk kita menangani dinamika politik pada hari ini.
“Ia amat berguna… jadikan sebagai teladan dan ikut sebarang petua yang diberikan bagi memastikan pilihan raya yang ke-16, UMNO dan Barisan Nasional di Kuala Kangsar ini berjaya merampas ketiga-tiga kerusi itu sendiri.
“Alhamdulillah terima kasih kepada Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang sudi datang dan kebetulan beliau juga diamanahkan menjadi menteri angkat untuk Kuala Kangsar,” katanya. – UMNO ONLINE