Prestasi Ekonomi Bukti Komitmen Johor Jadi Enjin Pertumbuhan Ekonomi Negara
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah meluahkan kesyukuran dengan pencapaian Johor apabila mencatatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia iaitu 6.4 peratus pada tahun 2024, melebihi purata nasional 5.1 peratus.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata ia sekaligus menyaksikan negeri ini kini muncul sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, dengan KDNK negeri meningkat daripada RM148.6 bilion pada 2023 kepada RM158.0 bilion pada 2024.
Ia berdasarkan kepada laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam berhubung Laporan KDNK Mengikut Negeri 2024.
“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur dan bangga, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Johor atas kejayaan negeri ini.
“Menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas sokongan, nasihat dan bimbingan yang sentiasa diberikan bagi memastikan pembangunan ekonomi negeri terus berkembang demi kemajuan dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya menerusi satu kenyataan.
Syed Hussien berkata pencapaian ini jelas membuktikan Johor berada di landasan yang kukuh untuk terus menjadi enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia, selaras dengan aspirasi Maju Johor 2030 di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau dalam pada itu menyeru seluruh rakyat Johor agar terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan negeri untuk melaksanakan agenda pembangunan secara konsisten meliputi aspek ekonomi dan fizikal serta pembentukan sahsiah masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
“Marilah kita bersama-sama memastikan kemajuan Johor dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara adil dan inklusif, demi membina masa depan negeri yang lebih makmur untuk generasi akan datang.
“Insya-Allah, dengan usaha bersama, Johor akan terus mara sebagai negeri terunggul dalam pembangunan negara, menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Menurut DOSM, pembangunan pesat pusat data di Johor menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Kedudukan Johor yang strategik di selatan tanah air, dengan jaringan infrastruktur yang kukuh, pelabuhan utama dan zon perindustrian yang luas, turut menyokong pencapaian ini. – UMNO Online