RTS: Detik Bersejarah kukuh Hubungan Malaysia-Singapura – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi beranggapan bahawa Projek Rapid Transit System (RTS) Link 01 merupakan detik bersejarah yang mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan kesyukuran apabila dapat menyaksikan gimik pelancaran projek RTS Link 01 di Singapura pada Isnin.

“Syukur Alhamdulillah, saya berbesar hati dapat menyaksikan gimik pelancaran Projek RTS Link 01 bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Luar Singapura, HE Vivian Balakrishnan di Singapura.

“RTS Link merupakan sistem pengangkutan moden yang bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands North, Singapura dalam hanya lima minit. Direka dengan kecekapan tinggi, tren ini mampu membawa 10,000 penumpang setiap jam sehala, dengan kekerapan 3.6 minit semasa waktu puncak, sekali gus berupaya menampung sehingga 180,000 penumpang sehari.

“Projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi dan strategik buat Negeri Johor. Ia bukan sahaja menyelesaikan isu kesesakan rentas sempadan yang telah lama membebankan rakyat, malah menjadi detik bersejarah dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Singapura dan merangsang pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama Persekutuan dan Singapura.

“Setakat Jun 2025, projek ini telah mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 56 peratus, melibatkan pembinaan landasan, pembangunan stesen serta ujian sistem dan tren. RTS Link disasarkan mula beroperasi menjelang penghujung 2026.

“Saya yakin, semua ini adalah permulaan yang baik dalam mengangkat Johor sebagai kuasa ekonomi utama di rantau ini. Ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dan Singapura dalam membina prasarana yang moden, efisen dan selamat untuk keselesaan rakyat.

“Semoga kemudahan awam di Negeri Johor terus dipertingkatkan agar ia memberi manfaat sepenuhnya oleh Bangsa Johor. Dengan komitmen berterusan daripada semua pihak, Insya-Allah Johor akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri contoh yang seimbang dari segi pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79