“Radu Tetap Radu”: UMNO Pensiangan Komited Pastikan BN Menang PRN Sabah
NABAWAN, 1 Julai – Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berganjak dalam usaha untuk memastikan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, ini termasuklah merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan walaupun pada PRN yang lalu jentera UMNO diarah untuk membantu calon Perikatan Nasional (PN), namun kali ini sekiranya bertanding sendiri akan penuh dan semangat juang.
“Kita tetap lawan. Kita radu tetap radu. PRN kali ini, kita berjuang habis-habisan hingga ke saat akhir demi memastikan kemenangan BN,” katanya.
Semalam beliau bersama-sama dalam Program Jelajah RTR di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sapulut.
Busiau turut menyatakan keyakinan bahawa semangat setiakawan dalam BN, khususnya antara UMNO dan PBRS yang dipimpin oleh Datuk Arthur Joseph Kurup, akan menjadi kekuatan utama untuk merampas semula kerusi tersebut.
“BN tidak asing bagi masyarakat Nabawan. Ketika era BN mentadbir negeri, pelbagai kemajuan telah dibawa masuk ke Nabawan, ada sekolah berasrama, jalan raya, paip graviti dan peningkatan ekonomi masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti di peringkat PDM Sapulut agar terus mendekati rakyat dan menyantuni semua lapisan pengundi.
Dalam masa yang sama, Busiau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran Jelajah RTR di kawasan itu yang menurutnya memberi suntikan semangat kepada jentera dan memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Saya berjanji, jika DUN ini dibubar dan UMNO diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi Nabawan, kami akan berusaha sepenuh jiwa raga demi memastikan kemenangan Barisan Nasional,” tegas beliau lagi.
Program tersebut turut dihadiri oleh Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Datuk Yakub Khan selaku Ketua UMNO Bahagian Sepanggar merangkap Pengarah Program Radu Tatap Radu; Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Ramie Unggi; dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris serta barisan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO setempat. – UMNO Online