Memperkasakan Wanita Melalui Usahawan Langkah Terbaik – Norshida
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim melihat usaha memperkasa wanita melalui usahawan adalah langkah yang penting dalam meningkatkan ekonomi dan kemandirian gender.
Jelas beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, usahawan wanita tidak hanya menjana pendapatan untuk diri mereka tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Dalam konteks ini, organisasi seperti MARA yang menganjurkan program khas untuk wanita adalah amat dihargai. Program ini bukan sahaja menyediakan platform untuk wanita memperluaskan jaringan mereka tetapi juga memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam perniagaan.
“Memperkasakan minda jugak adalah langkah pertama menuju kejayaan. Wanita perlu diberi keyakinan dan galakan untuk mengatasi cabaran yang mereka hadapi dalam dunia perniagaan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Sebelum itu berlangsung Program Pemerkasaan Wanita 2025 Peringkat Daerah Segamat anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dirasmikan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zahari Sarip.
Tambah Norshida lagi program seperti ceramah motivasi, perkongsian pengalaman, dan sesi pengembangan diri dapat membantu meningkatkan keyakinan dan mendorong wanita untuk mengambil risiko yang lebih besar dalam dunia keusahawanan.
“Syabas kepada MARA, sahabat saya Rafida Ab Manan yang menganjurkan program ini. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkasakan wanita tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Tahniah kepada semua wanita hebat yang terlibat dalam usahasama ini, untuk mencapai keseimbangan dan kemajuan. Buat Pengerusi Biro Pendidikan dan Team , tahniah dan terima kasih atas pengurusan yang sangat teratur. Dengan bimbingan yang tepat dan sokongan yang berterusan, kita pasti mampu mencapai kejayaan yang besar,” ujarnya.- UMNO Online