Kerajaan Johor Tidak Berkompromi Isu Kedaulatan Ekonomi Dan Keselamatan – Mohd Jafni
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kerajaan Negeri Johor menegaskan pendirian untuk tidak berkompromi dalam perkara yang menyentuh kedaulatan ekonomi dan keselamatan negeri, khususnya membabitkan kegiatan perniagaan haram oleh warga asing tanpa lesen.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pendekatan tegas ini diterjemahkan melalui pelaksanaan operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan agensi penguat kuasa lain di sekitar kawasan Kulai.
Menurut beliau, operasi itu bertujuan memastikan penguatkuasaan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) dilaksanakan dengan tegas serta menjaga hak dan kepentingan peniaga tempatan yang sah.
Mohd Jafni menegaskan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius kewujudan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram kerana ia menjejaskan keseimbangan ruang ekonomi tempatan serta menutup peluang rezeki untuk rakyat Johor sendiri.
Ujarnya, dalam operasi tersebut, sebanyak tiga premis disita barangannya, lapan premis telah diarahkan tutup serta-merta, manakala seramai 16 warga asing tanpa permit sah telah ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen dan turut dikeluarkan adalah kompaun bernilai RM2,900 atas pelbagai kesalahan.
Beliau menambah bahawa pendekatan ini selaras dengan arahan dan iltizam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mahu semua kawasan PBT di negeri ini bebas daripada kegiatan haram, tidak terkawal dan menggugat kesejahteraan penduduk.
“Kita tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan keselamatan, kebersihan dan integriti sistem lesen perniagaan. Setiap ruang niaga adalah hak rakyat Johor dan tidak wajar disalahgunakan oleh pihak luar yang tidak menghormati undang-undang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk MPKu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Jabatan Imigresen Kulai, Jabatan Kesihatan dan agensi lain yang sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa integriti dan penguatkuasaan di peringkat PBT demi menjamin kedaulatan ekonomi dan keselamatan perbandaran seluruh Johor.
“Kita akan terus mara dengan agenda #MajuJohor, tanpa kompromi terhadap pihak yang cuba mencemarkan kedaulatan undang-undang dan kesejahteraan negeri,” tegas beliau lagi. – UMNO Online