Draf Pindaan Akta 134 Kini Di Fasa Akhir – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 1 Julai – Penyediaan draf pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang melibatkan isu pemilikan tanah masyarakat Orang Asli kini berada di fasa akhir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Insya-Allah ia akan dimuktamadkan selewat-lewatnya September ini dan dibentangkan di Parlimen pada Mac 2026,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.

Pada Mac lepas, Ahmad Zahid dilapor berkata pindaan itu bertujuan menambah baik beberapa perkara termasuk isu tanah, infrastruktur, pendidikan, perumahan dan ekonomi masyarakat Orang Asli.

Beliau berkata Akta itu akan dipinda setelah lebih 70 tahun dan beberapa aspek sedang diambil kira untuk dimasukkan dalam ubah suai akta ini terutamanya isu tanah atau kawasan rayau kerana terdapat pertikaian antara komuniti itu dan tuan tanah, pihak swasta dan kerajaan negeri.

Akta 134 telah dipinda kali terakhir pada 1967 dan disemak pada 1974.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata beliau mahu pendekatan pertanian berimpak tinggi melalui Projek Agrotek Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KITENGAH) diperluaskan.

Beliau berkata dengan pendekatan konsep pertanian pintar bagi tanaman di fertigasi itu negara mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

“Setakat ini 16,000 polibeg telah diusahakan di atas tanah empat ekar oleh empat peserta. Saya percaya dengan bimbingan serta teknologi yang tepat, projek ini berpotensi menghasilkan 96,000 kilogram cil dengan anggaran hasil jualan RM576,000 setahun,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru KETENGAH memacu transformasi pelancongan Tasik Kenyir melaluinisi Desa Kirana dan menjadikannya destinasi ikonik yang menyumbang kepada kejayaan Visit Malaysia 2026.

KETENGAH merupakan sebuah agensi badan berkonun di bawah KKDW yang berusia 52 tahun dan telah membelanjakan RM1.7 billon sepanjang tempoh itu untuk melaksanakan pelbagai program dan projek bagi membangunkan wilayah dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79