Wanita UMNO ‘Tulang Belakang’ Parti Dalam Pelbagai Aspek
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Wanita UMNO menjadi ‘tulang belakang’ parti dalam pelbagai aspek termasuklah mobilisasi undi khususnya di peringkat akar umbi, kata ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya Noraini memaklumkan beliau telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas yang diadakan pada Ahad.
“Dari Perlis ke Negeri Kedah dan saya berada di Pulau Pinang untuk memenuhi jemputan bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas yang diadakan di Midtown PERDA, Kubang Menerong.
“Terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam kerana menjemput saya untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bagi ketiga-tiga sayap.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Zainab Bajar, Ketua Wanita UMNO Bahagian, Mohamad Helmi Juhari, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Farah Izzati Abdul Rahman, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kepala Batas serta seluruh barisan kepimpinan masing-masing di atas komitmen dan kejayaan mengadakan mesyuarat ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, jentera Wanita UMNO yang terlatih dan berdisiplin menjadi tunjang kepada kejayaan kempen rumah ke rumah pada musim pilihan raya.
“Dalam ucapan ketika merasmikan majlis ini, saya turut mengingatkan Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas tentang peranan penting dan sumbangan besar mereka sebagai ‘tulang belakang’ parti yang merangkumi pelbagai aspek termasuk dalam mobilisasi undi, khususnya di peringkat akar umbi.
“Jentera Wanita yang terlatih dan berdisiplin menjadi tunjang dalam kempen rumah ke rumah, menjalin hubungan rapat dengan pengundi serta menyampaikan mesej parti dengan berkesan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua perwakilan sayap-sayap UMNO Bahagian Kepala Batas kerana telah selesai melaksanakan tanggungjawab selaku ahli UMNO.
“Turut hadir bersama di dalam majlis ini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin, Naib Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Nordin Wahab dan Datin Seri Ismalina Ismail, isteri kepada Datuk Seri Reezal Merican.
“Rakan-rakan Exco Wanita UMNO Malaysia, Ketua Wanita UMNO Bahagian-bahagian dari Pulau Pinang dan Kedah termasuk Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Norhafizah Othman turut hadir memberikan sokongan buat para perwakilan sayap-sayap di UMNO Bahagian Kepala Batas.
“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua perwakilan sayap-sayap UMNO Bahagian Kepala Batas kerana telah selesai melaksanakan tanggungjawab selaku ahli UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online