UMNO Terus Perkasa Suara Rakyat, Erat Hubungan Komuniti Di Jeram Padang
JEMPOL, 30 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru seluruh ahli UMNO agar terus istiqamah dalam perjuangan dengan menjunjung disiplin, setia kepada parti serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Katanya, kekuatan UMNO bukan hanya terletak pada struktur parti, tetapi pada semangat akar umbi yang bersatu dan bekerja demi masa depan agama, bangsa dan tanah air.
“Keutamaan melaksanakan khidmat bakti bukan sahaja menyatukan semangat juang anak muda, malah menjadi wadah penting untuk menyusun kekuatan jentera dalam mendepani cabaran politik semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas siri program komuniti yang berlangsung di Felda Palong 1 baru-baru ini, yang membuktikan komitmen berterusan UMNO dalam mendekati serta menyantuni rakyat.
Antara inisiatif yang dilaksanakannya termasuk Program Ziarah Kasih, dengan Mohd Zaidy bersama anggota parti setempat telah menziarahi dua penduduk yang memerlukan perhatian dan sokongan iaitu Habsah Hassan, ibu kepada Pengerusi JPKK Felda Palong 1 serta Abd Rashid Salam.
“Ziarah ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi lambang kasih sayang dan semangat setiakawan yang sentiasa menjadi keutamaan dalam khidmat kami kepada masyarakat,” jelas beliau sambil mendoakan agar mereka yang uzur terus diberi ketabahan.
Selain itu, beliau memaklumkan kejayaan Program Pancing Ria Komuniti Felda Palong 1 yang telah menghimpunkan lebih 200 peserta dari pelbagai lapisan usia.
Ujarnya, program ini berlangsung lancar hasil kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan tempatan termasuk FELDA, JKKR, GPW, MBFM, KAF, PIBG dan KEMAS termasuk para penduduk setempat.
Menurut Mohd Zaidy, program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim tetapi juga menjadi platform memperkukuh semangat komuniti, menjadikan UMNO bukan sahaja parti politik, tetapi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan rakyat.
“Semoga UMNO terus kukuh, berakar di hati rakyat dan kekal menjadi parti yang membela agama, bangsa dan tanah air.
“Program berimpak seperti ini membuktikan kesungguhan UMNO dalam memastikan perjuangan parti sentiasa berpaksikan rakyat iaitu mendengar, mendekati dan menyantuni mereka secara langsung,” katanya lagi. – UMNO Online