UMNO Perlu Dominan Semula, Bukan Sekadar Jadi Pelengkap – Syahbudin

MACHANG, 30 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbudin Hashim menegaskan bahawa UMNO perlu terus berusaha memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang bagi memastikan parti itu kembali menjadi dominan dalam landskap politik negara.

Menurut beliau, ini adalah selari dengan saranan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap satu peringatan penting buat semua ahli dan kepimpinan parti.

“Saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, mahu atau tidak, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti, UMNO perlu memenangi lebih banyak kerusi. Ini penting bagi melayakkan parti menjadi dominan dan memperoleh kuasa yang lebih besar untuk terus memperjuangkan kepentingan orang Melayu, agama, bangsa, dan tanah air.

“Kini dapat dilihat apabila UMNO tidak memiliki banyak kerusi, kita menjadi penumpang, tidak dominan, dan sekadar menjadi suara yang menyokong. Kita perlu memenangi lebih banyak kerusi agar suara UMNO kembali gagah, kembali berkuasa seperti dahulu, dan mampu melaksanakan apa yang diimpikan serta diharapkan oleh rakyat.

“Semua pihak perlu saling bekerjasama, berganding bahu, dan membaiki apa yang perlu. Kita pastikan kerusi-kerusi yang tewas sebelum ini kembali menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada UMNO Online.

Syahbudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, berkata bahawa jentera utama UMNO adalah akar umbi dan penyokong-penyokong parti.

“Gerakan kita adalah untuk memastikan UMNO kembali berkuasa dan menjadi parti dominan dalam negara. Oleh itu, semua pihak mesti bertindak dan melaksanakan gerakan bermula sekarang, terutamanya dalam menangkis tohmahan dan fitnah daripada parti lawan.

“Parti lawan tidak akan bersetuju dan tidak mahu melihat UMNO terus berpadu. Kenapa? Kerana apabila UMNO berpecah belah, di situlah terletaknya kekuatan mereka,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Syahbudin turut mempersoalkan dakwaan seorang bekas Perdana Menteri yang menggelarkan dirinya sebagai ‘payung Melayu’.

Tegasnya, UMNO kekal sebagai pelindung dan pembela utama hak serta kepentingan orang Melayu di negara ini malah sejarah perjuangan UMNO tidak boleh disangkal dan telah terbukti menjadi wadah utama perjuangan orang Melayu sejak penubuhannya.

“Tidak ada payung yang lebih besar daripada payung UMNO yang memayungi seluruh orang Melayu. Sejarah telah mencatat bahawa payung sebenar orang Melayu adalah UMNO.

“Saya agak skeptikal apabila bekas Perdana Menteri itu mendakwa dirinya sebagai payung Melayu. Hakikatnya, yang telah memecahbelahkan orang Melayu selama ini ialah beliau. Jika benar mahu berada di bawah satu payung besar, marilah bersama UMNO.

“UMNO sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu, dan inilah sebenarnya payung sebenar orang Melayu. Parti-parti lain hanya sekadar retorik semata-mata. Jika mahu membuat tuntutan sebagai pelindung Melayu, maka tuntutlah di bawah UMNO,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79