Pertahanan Sabah, Wilayah Terus Diperkasa

KUALA LUMPUR,30 Jun – Pertahanan di Sabah dan wilayah tersebut terus diperkasa meskipun ‘negeri di bawah bayu’ itu kini aman, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, risiko ancaman di wilayah tersebut lebih ketara kerana kedudukan geografinya dan perhatian serius perlu diberikan untuk menangani sebarang bentuk intimidasi.

“Pertahanan di Sabah dan wilayah ini turut terus diperkasa. Meskipun Sabah kini aman, risiko ancaman di sini lebih ketara kerana kedudukan geografinya. Perhatian serius diberikan dalam menangani sebarang bentuk ancaman di wilayah ini.

“Saya turut tekankan bahawa keamanan adalah tanggungjawab bersama. Para veteran diharap dapat terus memainkan peranan, sebagai anggota masyarakat, untuk mendukung Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bagi menjayakan pendekatan ‘Whole of Government, Whole of Society’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah berkesempatan menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia ketika lawatan kerja ke Tawau pada Ahad.

“Semasa lawatan kerja ke Tawau, saya turut menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia. Mewakili negara, saya menzahirkan rasa terima kasih kepada para veteran ATM atas keperwiraan dan pengorbanan demi keamanan tanah air.

“Keamanan yang dinikmati tidak mungkin dirasai tanpa jasa mereka. Sebagai rakyat, kita perlu menghayati sejarah perjuangan mereka dan mengambil ikhtibar sewajarnya demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan komited untuk terus mengangkat agenda kebajikan veteran ATM.


“Kementerian beri komitmen untuk terus mengangkat agenda kebajikan veteran ATM, sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan para veteran kita. Setiap tahun, kita dapat menyaksikan peruntukan bagi hal ehwal veteran meningkat dengan ketara.

“Semoga perjuangan para veteran ATM akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membina Malaysia yang lebih kuat, menjadi pejuang masa hadapan yang sentiasa bersedia membela tanah air,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79