‘Persefahaman Akar Umbi Kunci Perkasa Parti’ – Mohamad
LEDANG, 30 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru akar umbi untuk terus memperkukuh solidariti sebagai pendukung parti.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata ia merupakan elemen utama untuk memastikan gerak kerja parti dilaksanakan sebaiknya terutama dalam menghadapi pilihan raya.
“Saya selalu cakap perkasakan parti, kerana ia tak perlu formula yang besar.
“Formulanya adalah supaya persefahaman dan kerjasama di semua peringkat cawangan serta bahagian.
“Jika ini dapat dilakukan maka satu pasukan yang kuat akan dapat mengharungi pilihan raya,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika ditemui media usai merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Tangkak pada Ahad.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib; Timbalan, Sahrihan Jani serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut kata beliau, pengukuhan akar umbi memainkan peranan kerana mereka merupakan jentera dalam menggerakkan parti.
“Dalam pilihan raya jentera itu penting… apabila jentera berjalan seiring sebagai satu pasukan yang besar, insya-Allah kemenangan itu di tangan kita.
“Tapi kalau selepas saja penamaan calon dikeluarkan, banyak pusat daerah mengundi (PDM) dan peti-peti undi tertutup, itu merupakan malapetaka bagi kawasan tersebut,” ujar beliau.
Mohamad berkata, pengundi juga kini semakin bijak dalam menilai keupayaan sesebuah parti politik untuk mentadbir negara dan negeri.
Katanya lagi pengalaman dan rekod perkhidmatan yang dimiliki UMNO masih menjadi sandaran utama rakyat dalam membuat pilihan.
“Alhamdulillah Ledang ini, jika mereka boleh buat kerjasama yang kuat lagi dan meyakinkan orang ramai, Insya-Allah Parlimen pun boleh kita dapatkan sebab menang mereka pun tak berbeza banyak.
“Jadi Insya-Allah saya rasa orang dah lihat, pengundi sudah sedar, membezakan parti mana yang boleh mengurus negara, mengurus negeri dan parti mana yang hanya bercakap saja atau janji tapi tak ada apa-apa,” ujar beliau. – UMNO Online