Perhimpunan Agung UMNO 2025 Ditunda 26 Hingga 29 Nov – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang sebelum ini ditetapkan pada 20 hingga 23 Ogos ditunda kepada tarikh baru iaitu 26 hingga 29 November.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata tarikh baru berkenaan mengambil kira persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 telah dipersetujui untuk ditunda kepada 26 hingga 29  November 2025, mengambil kira persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu  Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuaratnya yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di  Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam tadi.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos depan.

Dalam perkembangan lain, Asyraf turut memaklumkan UMNO merakamkan ucapan setinggi-tingginya penghargaan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan UMNO Perak kerana membantu segala pengurusan dan mengendalikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik yang turut meragut nyawa 15 pelajar UPSI.

Dalam kenyataan yang sama beliau turut menyatakan UMNO akan melaksanakan kajian separuh penggal keberkesanan dan prestasi Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuklah pencapaian kepimpinan UMNO dalam anggota pentadbiran, agensi-agensi milik dan berkaitan kerajaan.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79