MKT Boleh Pertimbang Rayuan Tindakan Disiplin – SUA UMNO
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dibuat oleh mana-mana ahli yang dikenakan sebarang tindakan disiplin parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat MKT malam ini berkata proses berkenaan selaras dengan Perlembagaan parti tersebut.
“Majlis Kerja Tertinggi boleh mempertimbangkan sebarang rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana ahli yang dikenakan tindakan disiplin parti selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 20.12.,” katanya.
Terdahulu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuaratnya yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam tadi.
Sebelum ini beberapa ahli parti telah dikenakan tindakan disiplin termasuklah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Shahril Hamdan dan beberapa yang lain.
Dalam pada itu,Dr Asyraf seterusnya menambah bagi mengelakkan prasangka dan sebagainya lagi, tidak wajar mana-mana parti mengambil ahli di kalangan parti yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini.
“UMNO merasakan tiada kewajaran untuk parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia mengambil mana-mana ahli di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk mengelakkan tercetusnya prasangka dan ketidak-harmonian dalam Kerajaan,” ujarnya. – UMNo Online