Keahlian UMNO… Hormat Suara Akar Umbi, Amal Keputusan Konsensus
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Isu penarikan balik penggantungan keahlian yang sedang berlegar pada ketika ini membuktikan bahawa UMNO menghormati suara akar umbi dan mengamalkan keputusan konsensus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berpandangan bahawa keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan isu penarikan penggantungan beberapa individu kepada Biro Politik dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah bukti keterbukaan serta komitmen parti terhadap prinsip musyawarah.
“UMNO selaku parti yang berdisiplin dan berstruktur wajar mengekalkan proses sedia ada apabila terdapat sebarang usul daripada bahagian, perlu melalui penelitian jawatankuasa usul dan kelulusan MKT.
“Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyerahkan isu penarikan dan penggantungan pemimpin parti kepada Biro Politik serta MKT adalah bukti keterbukaan juga komitmen parti terhadap prinsip musyawarah. Ini penting untuk memastikan keputusan dibuat dengan adil dan mengikut peraturan yang digariskan Perlembagaan UMNO.
“Pada masa sama, menghormati usul dibawa oleh UMNO peringkat bahagian merupakan tanda kematangan politik dan semangat demokrasi dalaman parti. Dengan memberi laluan kepada MKT untuk membincangkan perkara ini, UMNO menunjukkan ia bukan parti yang mengabaikan suara akar umbi. Inilah budaya organisasi yang sihat, tidak menolak bulat-bulat cadangan… tetapi menilai secara kolektif demi kepentingan bersama,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan berkata, ketelusan sesuatu keputusan itu dibuat dapat mengelakkan fitnah dan persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej parti di mata rakyat.
“Selain itu, penegasan Presiden UMNO bahawa MKT memiliki kuasa tertinggi untuk menggantung, memecat atau menerima kembali ahli juga sangat penting bagi memastikan tidak wujud salah faham mengenai bidang kuasa dan prosedur parti.
“Ketelusan dalam proses ini dapat mengelakkan fitnah atau persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej UMNO di mata rakyat. Keputusan MKT kelak pastinya akan mengambil kira segala aspek, termasuk tataetika dan disiplin parti.
“Kenyataan Presiden UMNO juga menunjukkan sikap berhati-hati dan berhemah apabila menyebut bahawa tindakan penggantungan sebelum ini dibuat atas asas yang munasabah dan bukannya sewenang-wenangnya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa UMNO perlu terus mengamalkan perundingan dan konsensus dalam menyelesaikan isu dalaman parti.
“Ini penting untuk mempertahankan integriti parti dan memastikan tindakan disiplin bukan alat politik sempit, tetapi langkah mendidik dan menjaga perpaduan. Ia menjadi pengajaran kepada semua ahli tentang pentingnya mematuhi perlembagaan parti.
“Pendirian Presiden untuk menunggu perbincangan MKT mencerminkan kepimpinan yang inklusif dan berpandangan jauh. UMNO perlu terus mengamalkan perundingan dan konsensus dalam menyelesaikan isu dalaman supaya parti kekal kukuh dan bersatu menghadapi cabaran politik mendatang.
“Inilah yang perlu disokong oleh seluruh ahli UMNO demi memastikan parti terus menjadi wadah perjuangan bangsa yang relevan dan dipercayai rakyat. Kita gerak bersama!” katanya lagi. – UMNO Online