Jangan Terbawa-Bawa Nostalgia… Peka Landskap Politik

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan ahli dan akar umbi untuk tidak terbawa-bawa dengan nostalgia dan lebih peka terhadap perubahan landskap politik.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menzahirkan kesyukuran apabila Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa telah selesai dijalankan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, semalam.

“Alhamdulillah, selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa yang diadakan di WTCKL. Dalam mesyuarat ini, saya telah mengingatkan para perwakilan agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan nostalgia.

“Kita harus peka terhadap perubahan landskap politik dan corak pemikiran pengundi yang semakin dinamik.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, 40 peratus daripada pengundi terdiri daripada generasi muda… golongan penting yang mempunyai pendekatan tersendiri dalam menilai parti dan kepimpinan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, anak-anak muda menilai kepimpinan berdasarkan kepada kemampuan sesebuh parti menjamin kestabilan negara.

“Generasi ini membesar dalam suasana masyarakat majmuk bersama rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang dan mereka menilai kepimpinan berdasarkan kemampuan menjamin kestabilan serta mengurus kepelbagaian secara harmoni. Integriti dan kredibiliti adalah antara nilai utama yang mereka tuntut daripada pemimpin, bukan sekadar retorik atau populariti.

“Walaupun setiap seorang mungkin mempunyai pandangan berbeza, yang lebih utama ialah penyusunan peranan dan kekuatan setiap ahli pasukan agar gerak kerja parti lebih tersusun dan strategik.

“Sinergi mesti diwujudkan di semua peringkat… daripada kepimpinan tertinggi hinggalah ke akar umbi untuk memastikan UMNO kekal teguh, diyakini, dan mampu mencapai kemenangan dalam perjuangan yang mendatang,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79