Dari Kekalahan Ke Kebangkitan, UMNO Kembali Ke Hati Rakyat Labuan

LABUAN, 30 Jun – UMNO Labuan terus menunjukkan kebangkitan selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apabila Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan 2025 semalam berlangsung dengan penuh semangat dan sokongan luar biasa daripada akar umbi parti.

Ketua UMNO Bahagian Labuan merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan melahirkan penghargaan atas kehadiran dan sokongan yang ditunjukkan semua pihak dalam menjayakan mesyuarat berkenaan.

Ujarnya, majlis yang dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan ucapannya bersemangat serta memberi dorongan bermakna kepada seluruh warga UMNO Labuan.

“Alhamdulillah, majlis ini berlangsung dengan jayanya. Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Johari Abdul Ghani atas kesudian hadir serta menyampaikan amanat yang cukup membakar semangat. Terima kasih juga kepada semua barisan kepimpinan bahagian, para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang hadir,” katanya.

Menurut beliau, sokongan padu yang dizahirkan dalam mesyuarat ini menjadi bukti bahawa UMNO semakin diterima kembali di hati rakyat Labuan.

Mohd Rafi turut berkongsi bahawa misi memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO telah dimulakan sebaik sahaja tamat PRU15, dan kini mula menampakkan hasil yang positif.

“Ia bukan jalan yang mudah, namun dengan kesatuan, keikhlasan dan kerja keras, UMNO Labuan kembali bangkit. Sinar keyakinan mula bersinar. Insya-Allah, kebangkitan ini akan menjadi kekuatan baharu kepada perjuangan kita,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan oleh Johari bahawa UMNO Labuan kini berada pada “Next Level” dalam kalangan UMNO Bahagian di seluruh negara adalah satu pencapaian membanggakan, namun pada masa sama satu amanah besar yang perlu dipikul bersama.

Beliau turut menegaskan, UMNO Labuan komited untuk terus berkhidmat kepada ahli dan rakyat di Wilayah Persekutuan itu, sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti keramat tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79