Ahmad Zahid Sambut Baik Gagasan Kota MADANI, Menyumbang Kemajuan Negara
PUTRAJAYA, 30 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik gagasan Kota MADANI yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai aspirasi penting dalam membentuk sebuah negara yang moden, inklusif dan seimbang dari sudut pembangunan fizikal serta kerohanian.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, gagasan tersebut bukan sekadar cerminan kemajuan fizikal, malah menjadi panduan dalam memastikan kesejahteraan rakyat secara holistik – terutama di kawasan luar bandar.
“Saya menyambut baik gagasan Kota MADANI yang diketengahkan oleh YAB Perdana Menteri, iaitu sebuah bandar moden yang menjunjung nilai murni, bersifat inklusif dan harmoni.
“Konsep ini sejajar dengan komitmen kita dalam membawa pembangunan desa yang menyeluruh, di mana ianya seimbang dari segi fizikal dan kerohanian, tanpa meminggirkan sesiapa pun,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi Jun 2025, yang turut menyentuh tentang semangat Hijrah dalam membina jati diri dan sahsiah penjawat awam.
Ahmad Zahid menegaskan, pendekatan pembangunan desa yang tidak bersifat eksklusif perlu diteruskan agar seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi atau latar belakang, merasai nikmat pembangunan yang adil dan saksama.
“Insya-Allah, kita akan teruskan usaha ini bersama, demi Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Mudah-mudahan, segala yang dirancang ini akan diterjemah kepada hasil yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” tambah beliau lagi. – UMNO Online