5,912 Cawangan & 612,867 Ahli UMNO Sabah Bersedia Digembleng – Salleh Said
KEMABONG, 30 Jun – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menegaskan bahawa UMNO Sabah kini berada dalam keadaan siap siaga dengan kekuatan 5,912 cawangan dan 612,867 ahli berdaftar, yang bersedia untuk digerakkan sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap dalam program ‘Radu Tatap Radu’ di Daerah Mengundi Enubai, Kemabong, yang menghimpunkan jentera parti dari kawasan pedalaman Tenom.
“Kekuatan UMNO Sabah bukan sekadar angka, tetapi terletak pada disiplin organisasi dan gerak kerja yang tersusun. Kita tidak menunggu musim pilihan raya untuk mula bergerak — jentera kita sentiasa hidup dan aktif.”
Salleh menekankan bahawa kekuatan sebenar parti berpunca daripada peranan cawangan yang aktif, mengenali pengundi secara dekat, serta keupayaan bekerja secara konsisten di lapangan.
“5,912 cawangan dan lebih 600 ribu ahli bukan sekadar statistik. Jika kekuatan ini digerakkan dengan strategi dan disiplin, ia mampu mencipta gelombang besar di seluruh negeri.”
Menurut beliau, program Radu Tatap Radu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesepaduan dalaman dan memastikan jentera bergerak secara tersusun, berfokus, dan bersedia sepenuhnya menghadapi PRN.
“Kita tidak perlu bising, tetapi kita perlu bersedia. Dan UMNO Sabah sudah berada di landasan yang tepat.”
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Tenom, merangkap ADUN dilantik, Datuk Ramie Unggi.