MARA Tetap Sasaran ‘Sifar Buli’ Di Semua MRSM

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menetapkan sasaran untuk ‘Sifar Buli’ di kesemua institusi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), kata Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah berkesempatan untuk melawat ke MRSM Besut bagi meninjau sendiri maktab tersebut.

“Seusai merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kompleks UMNO Dewan Uthmaniyah, Pulau Lima saya terus mengambil masa untuk #Terjah ke MRSM Besut tanpa pengetahuan pihak pengurusan maktab bagi meninjau sendiri maktab yang terkait dengan insiden buli beberapa hari lepas.

“Saya amat kecewa dan dukacita apabila mendengar ada insiden buli di maktab ini. Ini bukan budaya kita. Ini bukan DNA MRSM,” katanya.

Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan, MARA menekankan prinsip ‘you touch, you go’ untuk sebarang insiden buli dan tidak akan memberikan sebarang kompromi kepada pelaku atau sesiapa yang bersubahat.

“Mengambil peluang berjumpa dengan anak-anak pelajar di surau dan titipkan beberapa pesanan serta peringatan kepada mereka. Budaya buli ini langsung tidak mencerminkan nilai Ulul Albab, sahsiah MARA dan prinsip pendidikan yang kami perjuangkan.

“Di MARA, kami tekankan prinsip ‘you touch, you go’ , sesiapa yang terlibat dalam kes buli secara langsung atau bersubahat, tidak akan ada tolak ansur,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata MRSM menjadi medan untuk membentuk akhlak, jati diri dan kepimpinan masa depan negara.

“MRSM bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan pembentukan akhlak, jati diri dan kepimpinan masa depan negara. Kita tidak boleh benarkan satu insiden mencemar keseluruhan institusi yang merupakan medan melahirkan kepimpinan masa hadapan negara.

“Saya dan pengurusan MARA akan pastikan budaya buli dihapuskan sampai ke akar. MARA menetapkan sasaran ‘Sifar Buli’ di semua MRSM agar budaya toksik seperti ini tidak lagi berlaku dan perlu dihapuskan segera,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79