Jentera JR Jasin Bersedia Menangkan UMNO/BN Dalam PRN Melaka – Siti Faizah

JASIN, 29 Jun – Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin Siti Faizah Abdul Azis berkata semua jentera Jalinan Rakyat (JR) telah bersedia memenangkan calon parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu, ini dapat dibuktikan apabila jentera JR berjaya menjalankan kerja hampir 90 peratus berkaitan kajian sikap, yang turut mendapat bantuan dan sokongan daripada UMNO bahagian.

“Ini bukan satu kerja yang mudah. Pada PRN yang lepas… Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Merlimau, Rim dan Serkam itu kita menang dan kalah di Bemban.

“Kita mahu lima DUN dalam Parlimen Jasin itu menjadi milik UMNO. Kita kena pastikan supaya Bemban kembali kepada UMNO,” katanya dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jasin di sini, Sabtu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka dan ADUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin yang juga ADUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar; dan Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Haryaty Hamdzah.

Sehubungan itu, Siti Faizah menyeru semua jentera perlu fokus bagi memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kita kena fokus untuk menang pilihan raya. Jauhkan persepsi negatif, jangan ada sedikitpun dalam hati perasaan negatif yang boleh mewujudkan perselisihan dan apa sahaja perkara yang boleh menjauhkan jarak antara sesama kita.

“Semua perwakilan akan terlibat secara langsung sebagai jentera pilihan raya akan datang. Kita hendak menang dan mesti lawan habis-habisan,” katanya.

Menyentuh mengenai persidangan, Siti Faizah menyokong usul yang dibawa oleh perwakilan yang memohon agar diwajibkan sekurang-kurangnya seorang calon wanita bagi setiap Parlimen.

Selain itu katanya, Wanita UMNO juga berusaha membantu usahawan-usahawan wanita atau badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam Parlimen Jasin.

“Kita banyak hantar usahawan untuk tingkatkan taraf ekonomi dan di Jasin yang telah lulus dan dihubungi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah seramai 40 orang usahawan wanita yang telah dicadangkan oleh kami di peringkat DUN.

“Ini fasa pertama yang telah diberi untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing. Ini satu inisiatif Wanita UMNO bahagian untuk membantu ahli-ahlinya,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79