Akar Umbi Nadi Perjuangan, Taat Setia Kunci Perpaduan Parti – Yusri
BACHOK, 29 Jun – Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Yusri Che Noh menegaskan bahawa kekuatan sebenar UMNO terletak pada akar umbi dan peranan aktif yang dimainkan oleh sayap-sayap parti dalam memastikan kesinambungan perjuangan.
Menurut beliau, UMNO tidak akan bermakna tanpa sokongan padu daripada rakyat di peringkat akar umbi, yang merupakan roh dan nadi sebenar parti keramat itu.
“Tanpa akar umbi… perjuangan ini tiada makna, inilah roh sebenar UMNO daripada rakyat untuk rakyat. UMNO tidak akan kuat jika tiada kekuatan akar umbi di cawangan kerana ia denyutan nadi dan roh perjuangan parti.
“Peranan sayap-sayap UMNO tidak boleh dipandang ringan, merekalah tunjang kekuatan parti terutamanya di peringkat akar umbi. Wanita UMNO sentiasa kekal berkorban apa saja untuk parti. Pemuda membawa suara keberanian untuk UMNO dan Puteri juga turut memainkan peranan penting bagi mendekati generasi muda serta kreatif.
“Taat setia kepada pemimpin adalah teras utama ahli parti untuk memastikan semua ahli bergerak dalam satu saf perjuangan yang sama. Ia dapat mengelakkan perpecahan dalaman yang boleh melemahkan parti. Ia amat penting untuk memastikan UMNO terus kekal, kukuh, stabil dan relevan dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mesyuarat perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian di Dewan Damai RY, Kampung Teratak Pulai, Jelawat, Bachok, semalam.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim, Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman, Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Bakri Yusof serta ahli parti empat peringkat.
Mengulas lanjut, kata Yusri lagi seluruh jentera dan akar umbi parti di kawasan itu akan berganding bahu dalam usaha membina semula kekuatan serta kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
“UMNO Bachok akan terus bersama, berganding bahu untuk memastikan parti ini terus bangkit kembali dan diterima rakyat serta pengundi. Kami akan berusaha sebaik-baiknya untuk mencapai kemenangan pilihan raya dan ini adalah ikrar akar umbi.
“Kami akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk berubah dan menyatukan ahli demi khidmat kepada rakyat serta keluar dari zon selesa di samping berani melakukan reformasi. UMNO Bachok juga menyatakan sokongan tidak berbelah bagi pada Pengerusi UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob. UMNO Bachok juga akan terus menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Insya-Allah… pada pilihan raya akan datang UMNO Bachok akan berusaha untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi yang kalah terutamanya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Kami harapkan ketelusan pemimpin tertinggi parti untuk beri semangat dan sokongan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan kembali menjadi dominan dalam kerajaan,” katanya lagi.
Seterusnya kata Yusri lagi menyeru semua perwakilan UMNO terus bangkit kembali dan perkemaskan jentera.
“Bersatu… jangan sesekali ada perpecahan lagi dalam susah dan senang.
“Bersetia… bukan hanya pada parti tapi berusaha untuk diri sendiri dengan ketentuan Allah SWT.
“Berkhidmat… jangan sesekali kita meninggalkan mereka walaupun ada yang tidak menyokong parti,” tegasnya. – UMNO Online