Wan Rosdy Seru Ahli Parti Manfaatkan Media Sosial

PEKAN, 28 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru ahli UMNO untuk memanfaatkan media sosial sebaiknya dalam menyebarkan ideologi parti.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata media sosial juga berfungsi sebagai platform untuk melawan propaganda negatif dibawa pembangkang.

“Kita kena kuatkan media sosial kerana sekarang ini siapa berjaya memenangi hati dan minda rakyat di media sosial ada kelebihan.

“Kena bersungguh… dari dahulu lagi saya beritahu media sosial kena kuat.

“Media sosial hendaklah diaktifkan, kita kena kelirukan mereka, apa yang mereka buat di media sosial itu kita respon mengikut keperluan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Canselori Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Timbalan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad serta kepimpinan lain.

Sementara itu, beliau turut sama berharap akar umbi UMNO Bahagian Pekan cekal meneruskan perjuangan parti meskipun ketiadaan pemimpin kesayangan mereka yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah katanya semangat sebagai keluarga besar UMNO perlu disematkan dengan nilai kematangan dalam kalangan alar umbi parti.

“Jangan berputus asa kerana ia merugikan kita, perjuangan perlu diteruskan.

“Kita pastikan ada atau tiada Datuk Seri Najib, UMNO bahagian Pekan terus mengekalkan kerusinya dan merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis.

“Kita boleh buat asalkan beberapa syarat masalah dalam tolong minimakan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79