Rakyat Kelantan Sedar Kegagalan Pentadbiran Kerajaan Negeri, UMNO Sebenarnya Payung Melayu -Ahmad Jazlan
MACHANG, 28 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob berkata, rakyat menanti terlalu lama untuk UMNO kembali memerintah negeri Kelantan.
Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang menegaskan rakyat Kelantan sudah sedar kegagalan pentadbiran Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh Pas terutamanya dalam menjaga rakyat di negeri ini.
Jelasnya, kegagalan pentadbiran kerajaan negeri bukan hanya terbatas kepada aspek pengurusan, malah turut meliputi pelbagai sudut penting yang menyentuh kepentingan rakyat secara keseluruhan.
“Rakyat sudah mula sedar tentang kegagalan sepenuhnya kerajaan Negeri Kelantan bukan saja dalam mentadbir negeri tetapi dari pelbagai sudut termasuklah menjaga rakyat. Pada pilihan raya lalu, rakyat sudah pun tahu mengetahui prestasi pentadbiran kerajaan negeri ini tetapi gelombang penolakan UMNO begitu besar sehingga ia menutupi kelemahan kerajaan negeri.
“Sekarang ini rakyat sudah berfikir untuk masa depan dan bersedia membuat perubahan. Paling penting jentera UMNO mesti bersiap siaga dan terus memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan untuk diperkukuhkan gerak kerja dalam memberi penerangan kepada rakyat.
“Kita merasakan kali ini ada perbezaan apabila jentera-jentera parti sudah pun sedar betapa kegagalan yang lepas telah merugikan rakyat khususnya di Negeri Kelantan. Malah jentera parti kini banyak disertai oleh orang-orang muda untuk mengembalikan UMNO kembali berkuasa di negeri ini,” katanya.
Beliau menyeru agar seluruh jentera UMNO negeri, khususnya di Kelantan, mengambil peluang ini untuk memperhebatkan usaha mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat sebenar mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada.
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Machang, di Pusat Transformasi Keilmuan, malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman, kepimpinan UMNO Bahagian dan ahli parti.
Pada masa yang sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan mempertikaikan dakwaan pihak tertentu yang kononnya Perikatan Nasional (PN) memperjuangkan agenda Melayu, sambil menegaskan bahawa sejarah telah membuktikan UMNO merupakan ‘payung sebenar’ orang Melayu.
“Sejarah telah membuktikan bahawa UMNO sebenarnya adalah ‘payung Melayu’. Ada pihak yang membuka payung baharu Melayu hanyalah sebuah retorik. Di kalangan pemimpin-pemimpin yang mewujudkan payung Melayu baharu ini… merekalah yang memecahbelahkan Melayu.
“Mereka bersama pihak lain dan membuka ruang untuk menidakkan hak serta ketuanan Melayu. Apabila mereka ketandusan isu dan merasakan Melayu ini akan kembali kepada UMNO… maka mereka mengajak orang-orang Melayu berada dibawah ‘payung besar’ ini.
“Payung besar sebenar orang Melayu adalah parti UMNO. Parti ini yang menyatukan orang-orang Melayu dari dahulu sehingga hari ini dan tidak pernah sesekali tersasar matlamat, tujuan asal penubuhan dari perlembagaan parti,” katanya lagi.
Tegasnya, parti UMNO, yang ditubuhkan pada tahun 1946 terus menegaskan komitmennya untuk memperjuangkan hak dan masa depan orang Melayu serta menolak sebarang cubaan untuk melemahkan peranan parti itu dalam landskap politik tanah air.
Terdahulu, Ahmad Jazlan bersama Dr Asyraf telah menyampaikan pemberian zakat kepada 355 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh Parlimen Machang yang layak melanjut pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). – UMNO Online