Perkemaskan Modul Komunikasi, Wanita UMNO Perlu Mahir Media Sosial

JASIN, 28 Jun – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menggesa jentera Wanita UMNO di setiap peringkat memperkemaskan modul komunikasi terutama mahir dan menguasai media sosial yang amat luas penggunaannya kini.

Ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, sebagai tulang belakang parti serta mempunyai keanggotaan paling ramai, ahli Wanita mampu membantu parti bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan seterusnya menjadi jentera pembangunan bangsa.

“Kita adalah tulang belakang yang mempunyai keahlian paling ramai dalam parti UMNO. Tetapi bagaimana kita hendak menggunakan jentera yang besar ini supaya dapat membantu memastikan kemenangan parti kita. Itu yang penting.

“Kita tak mahu jentera yang ramai tetapi kita tidak boleh menyumbang. Kita perlu pastikan bahawa jentera kita beri pendedahan secukupnya disebabkan politik sekarang tidak seperti dahulu. Satu kelebihan Wanita UMNO walaupun diuji, kita setia,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jasin, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin; Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin selaku ADUN Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis; Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin yang juga ADUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar; dan Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Melaka Datuk Haryaty Hamdzah.

Selanjutnya, Norliza berkata usia bukan halangan untuk Wanita UMNO mahir dalam penguasaan media sosial sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh seorang pempengaruh dan pencipta kandungan yang popular di TikTok iaitu Kak Cik Yah, berumur lebih 80 tahun.

Begitu juga, Norliza yang baharu sahaja pulang daripada menunaikan haji minggu lepas, memuji penguasaan pemimpin UMNO khususnya wakil-wakil rakyat di Melaka dalam arena media sosial yang amat baik.

Seterusnya kata Norliza, selain faktor kesetiaan, Wanita juga perlu berani membuat perubahan serta tampil dengan strategi-strategi baharu terutama dalam menghadapi pilihan raya.

“Dalam perjuangan perlu kesetiaan dan kejujuran. Kita kalah disebabkan alpa… ingatkan jasa-jasa yang dibuat sebelum ini akan memberikan undi kepada kita. Tetapi sekarang Alhamdulillah kita dapat lihat UMNO telah mula bangkit dan kita telah merangka strategi-strategi untuk memastikan kita kekal relevan.

“Teruskan menyantuni rakyat di bawah tetapi kita perlu ingat politik khidmat sahaja tidak mencukupi untuk memenangkan kita dalam pilihan raya. Wanita harus bangkit untuk membuat perubahan pastikan kita kembali dominan.

“Kita perlu ada strategi-strategi baharu untuk mengekalkan kemenangan dan merampas kembali kerusi yang tewas. Setiap kawasan mempunyai strategi yang berbeza,” jelasnya.

Dalam ucapannya, Norliza turut menitipkan kembali pesanan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Politik Solusi, Politik Legasi dan Politik Moderasi.

“Wanita juga berperanan bentuk semula wajah UMNO untuk masa depan. Politik Solusi, kita turun ke bawah dan dapat aduan, jangan simpan. Kita perlu bincang dan cari jalan penyelesaian masalah-masalah itu. Pemimpin UMNO perlu dilihat pandai membuat dasar untuk negara.

“Politik Legasi. UMNO perlu ada pelapis yang kuat. Penting kita membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka yang berminat bersama Wanita. Latih mereka menjadi pelapis dalam memastikan perjuangan agama, bangsa dan negara diberi perhatian.

“Politik Moderasi iaitu bersederhana, di samping menjaga kepentingan bangsa Melayu, kita juga tinggal di negara yang mempunyai pelbagai kaum,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Norliza yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut memberi beberapa maklumat kepada lebih lima ratus perwakilan berkaitan inisiatif dan insentif dari dana pendidikan negara itu.

PTPTN ujarnya akan bersedia membantu rakyat dalam memastikan agenda anak-anak watan mendapat pendidikan yang sebaiknya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79