Jasa Najib, Pemimpin Terdahulu Tidak Akan Dilupakan Rakyat – Fakhruddin
PEKAN, 28 Jun – Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memaklumkan jasa dan pengorbanan dilakukan pemimpin terdahulu kepada parti tidak akan dilupakan akar umbi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar berkata ini termasuk bakti Datuk Seri Najib Razak kepada rakyat khususnya masyarakat di Pekan.
“Saya ingin kita semua menginsafi bahawa jasa-jasa pemimpin UMNO sejak dari dulu lagi yang sentiasa mendengar dan merasai kesusahan denyut nadi rakyat.
“Begitulah juga dahulu, jasa-jasa yang telah dilaksanakan dan ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib yang tak mungkin dapat huraikan satu persatu daripada sekecil-kecil sehingga sebesarnya jasa pemimpin kita ini,” katanya.
Mohammad Fakhruddin berkata demikian pada ucapan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Canselori Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad serta kepimpinan lain.
Mengulas lanjut dalam landskap kepimpinan di peringkat negeri kata beliau Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merupakan harapan kepada rakyat, berbekalkan prestasi cemerlang mengemudi negeri ini.
“Walaupun Datuk Seri najib hari ini sedang menjalani hukuman yang tak sewajarnya tetapi di depan kita pada hari ini ada sesosok tubuh yang boleh kita bergantung harap.
“Sudah terbukti beliau telah mencipta pelbagai pencapaian dan kejayaan dan beliau adalah Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” ujar beliau.
Katanya lagi, parti keramat ini juga tidak akan ketandusan pemimpin dalam meneruskan agenda perjuangan parti keramat ini.
“UMNO akan sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin meneruskan kesinambungan perjuangan ini,” ujar beliau. – UMNO Online