Jangan Terpedaya Naratif UMDap, UMNO Tetap Teguh Pertahan Prinsip – Dr Zambry

LIPIS, 28 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa UMNO tidak pernah menggadai prinsip perjuangannya walaupun kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong agar tidak terpengaruh dengan naratif pihak lawan yang mengaitkan UMDap semata-mata untuk meraih keuntungan politik.

“Ingat ketika kamu mengingatkan kami supaya tidak berkawan dengan Dap… eh, kamu lebih dahulu berkawan dengan Daplah. Bukan sekali tapi dua kali. Kesemuanya adalah kerana berkaitan dengan matlamat politik, nak menang dalam pilihan raya.

“Dulu mereka yang lebih awal berkawan dengan Dap kerana ingin menang pilihan raya. Sekarang bila UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan, timbul pula dakwaan UMNO-Dap. Jangan terpedaya,” katanya.

Dr Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi menegaskan, tidak pernah ada sebarang bukti yang menunjukkan UMNO telah ‘menjual’ prinsipnya kepada Dap seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau juga membidas kenyataan pihak tertentu yang kononnya mendakwa tidak pernah ada perbincangan untuk membentuk kerajaan sebelum ini, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.

“Asas perjuangan UMNO tidak pernah menderhaka kepada institusi raja. Kita akur kepada titah Tuanku dan sebab itu kita mendukung Kerajaan Perpaduan,” jelas beliau.

Tegasnya, perjuangan UMNO tetap konsisten dalam mempertahankan kepentingan rakyat dan negara, tanpa tunduk kepada tekanan atau naratif yang dimainkan pihak lawan.

Beliau berkata demikian di hadapan perwakilan dalam ucapan perasmian Persidangan UMNO Bahagian Lipis, di sini, hari ini. Turut bersama ketua bahagian terbabit, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Aziz Mat Kiram serta kepimpinan bahagian tersebut. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79