Jangan Leka, Perkuat Kesatuan Hati Perkukuh UMNO – Dr Zambry
LIPIS, 28 Jun – UMNO perlu terus teguh dalam perjuangan dengan memperkukuh kesatuan hati dikalangan ahlinya, demikian tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, perpaduan dan keikhlasan dalam perjuangan menjadi kunci kekuatan UMNO sejak dahulu lagi maka ia perlu terus dipelihara demi masa depan bangsa serta negara.
“Perjalanan perjuangan UMNO penuh dengan naik turun dan jatuh bangun malah pernah ada yang kata parti kita sudah berakhir… tetapi UMNO masih berdiri kerana kekuatan dan kesatuan hati para ahlinya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Lipis di Wisma UMNO, di sini hari ini.
Dr Zambry memberi contoh Negeri Perak yang kehilangan kuasa pada 2008 dan tidak dapat membentuk kerajaan, sebagai peringatan penting kepada semua ahli agar tidak lalai dengan kedudukan yang ada.
“Pahang tidak mengalami nasib yang sama, tetapi itu tidak bermakna kita boleh leka. Setiap negeri dan bahagian, perlu sentiasa bersiap siaga serta bekerja keras untuk mempertahankan UMNO,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan UMNO bukan sekadar mempertahan kuasa, tetapi membina semula kekuatan berdasarkan tujuan asal penubuhannya iaitu memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
“Jangan leka dalam perjuangan. Kita mesti teruskan usaha ini dengan penuh keinsafan. Bangsa yang berpecah hatinya tidak akan mencapai matlamat perjuangan. Kesatuan hati adalah teras kejayaan kepada parti kita sejak sekian lama,” katanya.
Ujarnya, keistimewaan UMNO adalah kekuatan akar umbinya yang kukuh bermula dari cawangan, bahagian hingga ke peringkat pusat.
Beliau menegaskan bahawa sebuah parti hebat memerlukan proses jelas dan hala tuju mantap sebagaimana UMNO yang berteraskan sokongan akar umbi.
“Parti ini bukan milik individu, tetapi milik seluruh ahli. Ia adalah gerakan rakyat. Kita mesti pelihara kekuatan dari bawah iaitu jaga cawangan, perkasakan bahagian dan sokong kepimpinan di peringkat pusat,” ujarnya.
Beliau turut mengajak generasi muda untuk memahami nilai perjuangan UMNO dan terus menyumbang dalam proses memperkukuh parti.
“Kepada anak-anak muda, ingatlah bahawa selagi kita berada di landasan perjuangan yang benar, insya-Allah kita akan terus mara. Jangan sesekali lari dari perjuangan kerana UMNO berteraskan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.
Mesyuarat UMNO Bahagian Lipis turut dihadiri oleh pimpinan bahagian, wakil sayap parti serta pemimpin akar umbi dari seluruh kawasan Parlimen Lipis. – UMNO Online