Depani PRN Johor: Pemuda UMNO Mula Persiap Jentera Di Peringkat Bahagian – Noor Azleen

KLUANG, 28 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mengambil langkah awal dengan mempersiapkan jentera sayap tersebut untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir tidak lama lagi.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, PRN Johor yang dijangka akan berlangsung seawal tahun 2026 itu memerlukan mereka memberikan tumpuan kepada gerak kerja untuk menambat minda dan hati para pengundi khususnya golongan anak muda.

“Memang kita lihat PRN Johor semakin hampir kerana kalau di Sabah dah mula berlaku, sudah tentulah negeri seterusnya yang akan menjadi tumpuan adalah Melaka dan Johor.

“Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, saya menasihatkan Ketua Pergerakan Pemuda setiap bahagian untuk mempersiapkan jentera bagi berhadapan PRN yang mungkin boleh berlaku seawal tahun 2026,” katanya kepada UMNO Online.

Noor Azleen yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, seluruh jentera sayap akan berusaha untuk meyakinkan para pengundi khususnya golongan anak muda mengenai inisiatif Kerajaan Negeri Johor dalam pelbagai aspek sepanjang memerintah.

“Sudah tentulah fokus dan strategi untuk kita terus mendekati golongan sasar iaitu golongan muda bukan sahaja melalui pelbagai program dan aktiviti biasa yang dilakukan.

“Pada masa yang sama, kita perlu tambat minda dan hati para pengundi muda dengan segala usaha baik Kerajaan Negeri Johor pada hari ini khususnya tentang soal pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau beranggapan bahawa Mesyuarat Perwakilan UMNO di peringkat sayap dan bahagian yang sedang giat berjalan ini perlu digunakan sebaiknya untuk melihat soal dalaman parti bagi tujuan pemerkasaan.

“Kita pun tahu kita sedang giat berjalan mesyuarat perwakilan di peringkat sayap dan juga bahagian yang menjadi amalan serta rutin tahunan. Sudah tentulah peluang untuk bermesyuarat pada kali ini digunakan untuk melihat soal dalaman parti untuk tujuan pemerkasaan yang akhirnya dapat membina semula kekuatan parti.

“Saya percaya rata-rata suhu ataupun fokus ke arah menjelang PRN Sabah khususnya turut disentuh dan dibincangkan. Saya yakin perwakilan dari cawangan di setiap bahagian memanfaatkan peluang dan kesempatan pada kali ini untuk mengulas mengenai perkara tersebut.

“Doakan agar perjalanan mesyuarat di peringkat bahagian ini akan berjalan dengan lancar dan manfaatkanlah peluang untuk bermesyuarat ini dengan sama-sama memberi serta menambah nilai kepada perjuangan parti… dalam usaha untuk memperkasa dan membina setiap satu-persatu kekuatan parti dan supaya pada akhirnya, Insya-Allah UMNO akan kembali kuat serta menjadi dominan dalam landskap politik negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79