Berikan Sokongan Padu Kepada Kepimpinan UMNO, Teruskan Kerja Kuat – Abdul Rahman

LIPIS, 28 Jun – Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyeru seluruh ahli UMNO di semua peringkat agar terus bekerja keras dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan parti untuk memperkukuhkan semula kekuatan UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis merangkap Timbalan Menteri Sumber Manusia menegaskan bahawa sokongan padu perlu diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Semangat Presiden parti telah meletakkan UMNO hari ini kembali dipandang semula. Demi perjuangan anak bangsa dan masa depan maka kita perlu bantu Presiden, akar umbi mesti tolong kepimpinan kita supaya kita hendak terus menang.

“Kita yakin UMNO akan kembali kukuh. Berikan sokongan kepada Presiden, berikan sokongan kepada Menteri Besar Pahang dan semua mesti bekerja keras untuk pastikan Lipis kekal bersama Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang” katanya.

Mengangkat slogan ‘Satu Lipis Kekal BN’ beliau menegaskan komitmen untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lipis serta menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka, selain terus mengekalkan DUN Padang Tengku dan DUN Benta.

“Jika UMNO ibarat api, biarlah ia terus kekal menyala, jika UMNO ibarat nyawa biarlah diluka kita berdarah, jangan kita mati derhaka sebagai ahli UMNO itu sendiri.

“Ayah saya berpesan agar jadilah seperti pelita minyak tanah iaitu walaupun kecil namun terus memberi cahaya, ia tetap menerangi walau tidak disanjung tetapi cahaya inilah yang membuat orang nampak jalan.

“Biarlah kita tak dikenang, asalkan rakyat hidup selesa, biar kita penat asalkan rakyat selamat, biarlah kita ‘terbakar’ asalkan perjuangan ini terus dipandang, demi maruah agama dan bangsa maka ini adalah salah satu pedoman untuk kita depani pilihan raya nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di hadapan perwakilan sempena Persidangan UMNO Bahagian Lipis, hari ini. Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam majlis yang berlangsung meriah di Wisma UMNO, di sini.

Abdul Rahman turut mengimbas kembali sejarah perjuangan UMNO dan menyatakan bahawa maruah agama, bangsa dan negara mesti terus dijadikan semangat dalam perjuangan khususnya untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

“Kita masih meletakkan harapan yang tinggi untuk menentukan masa hadapan. UMNO perlu kekal relevan dan kembali memegang tampuk kuasa,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kekuatan parti amat penting untuk memastikan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan serta membantu rakyat secara menyeluruh.

“Sebab itu kita perlu beri nafas dan kekuatan kepada kepimpinan negeri dan parti. Kita mahu dua pertiga majoriti dikembalikan kepada BN agar perjuangan anak bangsa terus terbela,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79